DARI kiri, Huang bersama Radzi dan Nurmazilah.
hmdigital

KUALA LUMPUR: Kemunculan kecerdasan buatan (AI) tidak akan menggantikan kerjaya akauntan pada masa depan, kata Presiden Institut Akauntan Malaysia (MIA), Huang Shze Jiun.

Beliau berkata, peranan akauntan tidak akan pupus sebaliknya, bertukar memainkan peranan lebih strategik dengan tumpuan lebih khusus.

AI, katanya, dapat mengumpul data dengan lebih pantas, tetapi akuantan tetap diperlukan bagi mencerna dan menganalisa data besar secara lebih berkesan dengan pertimbangan tertentu.

“AI akan menawarkan banyak peluang bagi akauntan untuk menambah baik keberkesanannya, selain menawarkan lebih nilai kepada perniagaan,” katanya kepada pemberita di Persidangan Akauntan Antarabangsa MIA 2019 di sini, semalam.

Pelancaran disempurnakan Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dr Mohd Radzi Md Jidin.

Hadir sama ialah Ketua Pegawai Eksekutif MIA, Dr Nurmazilah Mahzan.

Dalam perkembangan lain, Shze Jiun berkata, MIA berharap Akta Akauntan baharu yang memberikannya lebih kuasa sebagai pengawal selia dan pembangun profesion perakaunan di negara ini, dapat dijadikan undang-undang dalam tempoh setahun dari sekarang.

Beliau berkata, antara yang termasuk dalam akta baharu itu ialah lebih banyak kuasa untuk menyiasat diberikan kepada MIA bagi membolehkan badan itu melaksanakan bidang kuasa secara lebih berkesan dalam persekitaran perniagaan yang lebih kompleks.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Oktober 2019 @ 6:43 AM