Mahanum Abdul Aziz


KUALA LUMPUR: Malaysia berpotensi berada dalam kedudukan 10 terbaik di dunia dari segi memudahkan urusan menjalankan perniagaan dalam ekonominya dengan mempertingkatkan lagi urusan mendapatkan kredit, menguatkuasakan kontrak dan penyelesaian solvensi.

Ahli Ekonomi Kanan/Pakar Statistik Bank Dunia, Arvind Jain berkata, berdasarkan laporan terkini, pihaknya mendapati tiga aspek itu yang boleh dipertingkatkan pembuat dasar tempatan untuk memudahkan lagi urusan menjalankan perniagaan di negara ini.

Beliau mengakui, pembaharuan yang dilaksanakan Malaysia setakat ini membuahkan hasil apabila negara ini menduduki tempat ke-12 daripada 190 ekonomi seluruh dunia dalam Laporan Menjalankan Perniagaan Bank Dunia 2020, meningkat daripada tempat ke-15 pada tahun sebelumnya.

“Malaysia bekerja keras untuk mengekalkan kedudukannya dalam 20 terbaik di dunia dari segi kemudahan untuk menjalankan aktiviti perniagaan di dalam ekonominya.

“Kami berharap kemajuan dapat dipertingkatkan lagi dalam urusan mendapatkan kredit, menguatkuasakan kontrak dan penyelesaian solvensi,” katanya ketika ditemui pada sidang media sempena pelancaran Laporan Menjalankan Perniagaan 2020 oleh Bank Dunia di sini, semalam.

Hadir sama, wakil Bank Dunia ke Malaysia dan Pengurus Negara, Dr Firas Raad; Penganalisis Bank Dunia, Viktoriya Ereshchenko dan Penganalisis Bank Dunia, Varun Eknath.

Bank Dunia turut menjangkakan Malaysia mencapai peralihan daripada ekonomi berpendapatan pertengahan kepada ekonomi berpendapatan tinggi menjelang 2024.

Bagaimanapun, ia berkata, tinjauan ekonomi Malaysia akan sangat bergantung kepada dasar yang dapat mengekalkan aktiviti sektor swasta dan menggalakkan kewujudan serta daya saing perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Sementara itu, Firas berkata, Malaysia berhak untuk menerima ucapan tahniah dengan mencapai kedudukan yang lebih baik dalam Laporan Menjalankan Perniagaan 2020.

Beliau berkata, kemajuan ketara yang dicatatkan dalam urusan permit pembinaan, mendapatkan bekalan elektrik dan perdagangan merentasi sempadan membantu melonjakkan kedudukan Malaysia untuk berada pada tangga ke-12 terbaik dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Oktober 2019 @ 7:32 AM