SABARI (kiri) bersalaman dengan Arun Prakash sambil diperhatikan Nordin (tengah) pada majlis menandatangani dokumen perjanjian di antara KPFB dan Palladium Builders.
Sri Ayu Kartika Amri


KUALA LUMPUR: Koperasi Peserta-Peserta Felcra Malaysia Berhad (KPFB) bakal melaksanakan projek pembangunan Mutiara KPFB Coop Residensi di Rawang, Selangor dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM2 bilion.

KPFB menjalin usahasama dengan Palladium Builders Sdn Bhd bagi pembangunan projek terbabit.

Pengerusi KPFB, Datuk Sabari Misran berkata, projek itu dijangka memulakan pembinaan pada Februari tahun depan dan siap sepenuhnya dalam tempoh tiga hingga empat tahun.

“Projek ini adalah Coop City atau Bandaraya Koperasi pertama di Malaysia yang terbuka kepada semua anggota koperasi untuk memiliki dan mendiami kediaman di sini.

“Kami akan membina 4,000 unit bangunan meliputi pelbagai kelas dan saiz termasuk lot komersial seperti pejabat serta lot kedai di atas tanah berkeluasan 103.78 hektar milik Mutiara KPFB Sdn Bhd, anak syarikat KPFB,” katanya pada majlis menandatangani dokumen perjanjian di antara KPFB dan Palladium Builders di sini, semalam.

Turut hadir, Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Datuk Nordin Salleh, Pengarah SKM Wilayah Persekutuan, Amran Abd Kadir dan Pengarah Palladium Builders, Arun Prakash Subramaniam.

Sabari berkata, kelebihan yang diberikan bukan saja kepada anggota KPFB, malah ia adalah satu inisiatif KPFB di dalam memberikan peluang kepada koperasi lain yang ingin memiliki kediaman dan lot komersial ini dengan harga yang lebih rendah berbanding harga biasa.

“Unit kediaman ini akan dapat membantu golongan berpendapatan sederhana untuk memiliki rumah dan ini juga menunjukkan peranan koperasi dalam menyediakan keperluan asas kepada anggota dan masyarakat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Oktober 2019 @ 12:53 PM