Bisnes HM

KUALA LUMPUR: Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) sebagai pemegang saham utama Plus Malaysia Bhd (Plus) kekal dengan pendiriannya dan tidak berhasrat menjual aset strategik itu kepada mana-mana pihak.

Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Shahril Ridza Redzuan berkata, pihaknya tidak mempunyai perancangan menjual syarikat lebuh raya itu pada ketika ini.

“Seperti yang diperkatakan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini, cadangan yang dibentangkan tidak menarik.

“Khazanah juga tidak berada dalam situasi untuk menjual aset berkenaan. Buat masa ini, pendirian kami belum berubah.

“Malah, kami belum melihat cadangan dikemukakan oleh WBG itu,” katanya ketika ditemui di Persidangan Korporat PNB 2019 (PCS 2019) di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai pendirian Khazanah susulan konglomerat pembinaan dan pengurusan fasiliti bersepadu, Widad Business Group Sdn Bhd (WBG) menaikkan tawaran bidaan PLUS kepada RM5.3 bilion berbanding RM3 bilion sebelum ini.


SHAHRIL Ridza

Ia termasuk dalam cadangan menguasai 100 peratus kepentingan ekuiti ke atas pengendali lebuh raya itu.

Khazanah memiliki 51 peratus kepentingan dalam Plus manakala baki dimiliki Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) susulan pengambilalihan pada 2011 dengan nilai transaksi RM32 bilion.

Dalam kenyataan berasingan, WBG berkata, dalam pembentangan kepada Kementerian Kerja Raya, pihaknya menawarkan RM5.3 bilion sebagai pertimbangan tunai selain pengecualian pampasan RM3.038 bilion dan andaian hutang RM30 bilion yang membawa kepada nilai hutang perniagaan untuk ditawarkan sebanyak RM38.338 bilion.

Menurutnya, semakan semula tawaran itu termasuk dua lagi tambahan klausa iaitu pengecualian RM11 bilion sukuk yang dijamin oleh kerajaan dan pilihan oleh kerajaan untuk membeli balik Plus selepas 10 tahun berdasarkan nilai pasaran.

Selain daripada WBG, kerajaan menerima tiga cadangan pengambilalihan untuk Plus iaitu daripada Maju Holdings Sdn Bhd bernilai RM34.9 bilion termasuk hutang, serta masing-masing dari RJR Capital (RM3.5 bilion) dan Tan Sri Halim Saad (RM5.2 bilion).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Oktober 2019 @ 1:58 PM