hmdigital

KUALA LUMPUR: Kewangan Islam bukan saja menghadapi halangan terhadap usaha penyeragaman disebabkan kepelbagaian pendapat, tetapi ia turut menerima kritikan kerana mengutamakan golongan elit.

Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Noripah Kamso berkata, kewangan Islam sebagai sebuah industri perlu berubah melangkaui set minda standard perbankan bagi memacu aktiviti ekonomi masyarakat.

“Kita perlu menjadi pemangkin pembangunan lestari dan menyediakan platform untuk sistem ekonomi yang saling bergantungan.

“Justeru, kita memerlukan kejelasan dan konsensus dalam peraturan dan rangka kerja serta bagaimanakah untuk kita menghadapi isu semasa dan menghadapi peningkatan terhadap budaya inovasi dalam perniagaan.

“Disebabkan itu, Bank Rakyat bersama rakan strategik, Akademi Penyelidikan Syariah Antarabangsa dalam Kewangan Islam (ISRA) melancarkan edisi ketiga Persidangan Meja Bulat Cendekiawan Syariah Antarabangsa (iSHAR),” katanya.

Persidangan meja bulat dwitahunan ini yang diasaskan pada 2015 platform membincangkan isu mendesak dalam kewangan Islam yang dihadapi industri perkhidmatan kewangan Islam (IF).

Bertemakan Isu Kontemporari yang Dihadapi oleh Industri Kewangan Islam, pada tahun ini, persidangan meja bulat menghimpunkan 20 cendekiawan Syariah dan perbankan Islam dari Malaysia, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Turki, Arab Saudi, Kuwait, Syria, Bahrain dan Jordan.

Noripah berkata, medium seperti zakat, wakaf dan sedekah boleh dimanfaatkan bagi merapatkan jurang kewangan serta menggalakkan hubungan sosial dan ekonomi yang lebih inklusif menerusi aktiviti ekonomi dalam masyarakat.

Beliau berkata, institusi IF perlu menjadi inkubator terhadap inovasi dan penyelidikan bagi membangunkan aktiviti ekonomi dalam operasi pasaran masing-masing.

“Rangka kerja pengawal selia turut perlu menumpukan perhatian terhadap ciri dan sifat unik yang terdapat pada industri kewangan Islam pada ketika ini.

“Kita perlu letak garis panduan hingga ke tahap mana sesuatu itu perlu diputuskan badan pengawal selia manakala pada tahap mana campur tangan masyarakat boleh dilakukan.

“Bank Rakyat berminat terbabit dalam mewujudkan rangka kerja ini menerusi kerjasama dengan organisasi serta rakan kongsi pemantau tempatan dan global yang berkaitan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 November 2019 @ 6:39 AM