Nabil Basaruddin


KUALA LUMPUR: Golongan milenial di Malaysia masih menjadikan amalan menabung untuk meningkatkan wang simpanan berbanding menggunakannya sebagai pelaburan bagi mendapatkan pulangan lebih tinggi.

Laporan berkenaan yang diterbitkan baru-baru ini adalah berdasarkan tinjauan yang dilakukan Luno, syarikat peneraju dalam pertukaran aset kripto menerusi badan penyelidik global, Dalia Research.

Menurut kajian itu, berdasarkan dapatan responden di Malaysia, ia mendapati 31 peratus daripada golongan milenial di negara ini tidak mempunyai strategi pelaburan.

Malah, lebih mengejutkan 43 peratus pula mengatakan mereka tidak melakukan pelaburan dan 16 peratus lagi hanya melabur sekali dalam tempoh satu atau dua tahun.

“Perkara ini membuktikan golongan milenial di Malaysia masih sibuk menabung berbanding menggunakan wang berkenaan sebagai pelaburan untuk pulangan mampan,” katanya.

Menurut tinjauan sama, ia mendapati 90 peratus milenial menetapkan belanjawan bulanan dan 70 peratus daripadanya cenderung mengikut perancangan yang ditetapkan itu.

Penemuan dalam laporan itu menunjukkan golongan terbabit lebih berdisiplin dengan pelan belanjawan yang dirangka khusus oleh mereka sendiri.

“Bagaimanapun, ramai yang tidak tahu mengenai cara melabur wang mereka.

“Malah, separuh daripadanya atau 54 peratus mendakwa mereka memerlukan lebih banyak maklumat mengenai kaedah menggunakan wang sebagai instrumen pelaburan,” katanya.

Berdasarkan laporan sama, 76 peratus milenial memberi maklum balas bahawa mereka masih mendapatkan nasihat kewangan daripada rakan, keluarga dan rakan sekerja.

Dalam pada itu, laporan itu turut mengulas bahawa golongan berkenaan juga adalah generasi digital yang bijak dan sering mendapatkan maklumat menggunakan peranti mudah alih dan platform dalam talian.

Malah, tinjauan terbabit mendapati 54 peratus daripada mereka mencari maklumat kewangan hanya melalui aplikasi secara dalam talian serta laman web.

“Apa yang menarik, 100 peratus responden dalam kumpulan umur sama mendedahkan mereka ada akaun simpanan dan 82 peratus mengatakan mereka menggunakan perbankan mudah alih dengan kerap,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Asia Tenggara Luno, David Low berkata, populasi milenial di Malaysia merangkumi 60 peratus daripada jumlah mereka yang bekerja dan dilihat sebagai pemacu utama ekonomi negara.

Katanya, keseluruhan tinjauan menunjukkan milenial masih belajar manfaat strategi pelaburan berstruktur serta masih terdapat keperluan untuk pendidikan kewangan.

Laporan tinjauan ini selari dengan usaha Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan 2019-2023 yang dilancarkan bertujuan mempersiapkan rakyat dengan pengetahuan pengurusan kewangan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 November 2019 @ 6:47 AM
Digital NSTP Subscribe