AKHRAMSYAH (dua dari kanan) pada majlis menandatangani MoU, semalam. FOTO Aziah Azmee
Nabil Basaruddin


KUALA LUMPUR: Mara Corporation Sdn Bhd (Mara Corporation) bersama Lynas Malaysia Sdn Bhd memeterai perjanjian strategik untuk melaksanakan beberapa projek bernilai tinggi untuk menarik pelaburan langsung asing (FDI) ke Malaysia.

Pengerusi Mara Corporation, Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi berkata, usaha berkenaan antara lain adalah untuk menjadi pemangkin bagi memastikan kehadiran peserta industri dan pelanggan sektor hiliran di negara ini.

Katanya, kerjasama berkenaan bakal membabitkan penggunaan nadir bumi yang bertindak sebagai input penting kepada bidang berteknologi tinggi serta industri berpertumbuhan tinggi.

“Usaha mewujudkan peluang ekonomi di Malaysia, khususnya untuk orang Melayu dan Bumiputera sentiasa menjadi keutamaan dalam perniagaan Mara Corporation.

“Kami juga mengikuti perkembangan Lynas Malaysia yang berkembang menjadi pemain utama dunia dalam industri nadir bumi yang mempunyai sokongan padu dan dipacu oleh golongan profesional teknikal Melayu.

“Malah, dengan kehadiran komponen utama untuk rantaian bekalan berkenaan, jadi sudah tiba masanya dan peluang kepada kita untuk meningkatkan industri hijau dan berteknologi tinggi di Malaysia,” katanya pada majlis menandatangani perjanjian memorandum persefahaman (MoU) antara Mara Corporation dan Lynas Malaysia di sini, semalam.

Pada majlis itu, Mara Corp diwakili oleh Akhramsyah manakala Lynas Malaysia oleh Pengarah Urusan dan Naib Presidennya, Datuk Mashal Ahmad dan turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Lynas Malaysia, Amanda Lacaze.

Akhramsyah berkata, sebelum ini syarikat pengeluar magnet pernah berhasrat untuk membuka operasi pengeluaran di Malaysia.

Bagaimanapun, katanya, syarikat berkenaan mengambil keputusan untuk membatalkannya selepas khuatir kehadiran mereka di negara ini mendapat tentangan rakyat tempatan.

“Jadi, syarikat itu mengalihkan tumpuannya dan beroperasi di Vietnam. Perkara seperti ini menjadikan kita terlepas peluang untuk syarikat pembuatan magnet berteknologi tinggi untuk berpangkalan di Malaysia.

“Meskipun Malaysia mempunyai kelebihan dari segi modal insan berkualiti tinggi, namun dalam hal ini, kita harus pastikan ia tidak berulang lagi sebelum negara lain seperti Vietnam berjaya mengejar dan menyebabkan kita kehilangan kelebihan itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 November 2019 @ 6:43 AM