KETUA Pegawai Operasi Kumpulan Sarawak Energy, Lu Yew Hung (kiri) bersama Ahmad Haliman dan Pengurus Besar SJPP, Azlan Mohd Agel pada majlis menandatangani MoU.
Sri Ayu Kartika Amri


BANK Islam Malaysia Berhad (Bank Islam), memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Sarawak Energy Berhad dan Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Berhad (SJPP) untuk menyediakan penyelesaian pembiayaan membabitkan jumlah peruntukan sebanyak RM300 juta.

Program berkenaan bertujuan mempertingkatkan akses pembiayaan dan kecairan kepada vendor yang mendapat kontrak daripada Sarawak Energy dan memenuhi penilaian kredit Bank Islam serta kelayakan dan kriteria yang ditetapkan SJPP.

Ketua Perbankan Komersial Bank Islam, Ahmad Haliman Abdul Halim berkata, pihaknya mengambil pendekatan agresif dalam mendorong projek yang mencerminkan misi pengantaraan berasaskan nilai (VBI) termasuk menyediakan kemudahan pembiayaan yang memberikan impak positif terhadap ekonomi, komuniti dan alam sekitar.

“Dalam usaha memberi sokongan kepada Program Pembiayaan Vendor Sarawak Energy, Bank Islam berupaya membantu vendor dengan kontrak kecil untuk mendapatkan akses pembiayaan yang membolehkan mereka menyiapkan projek yang dianugerahkan oleh Sarawak Energy atau subsidiarinya mengikut jadual.

“Usaha sama ini akan memperluaskan pasaran perniagaan Bank Islam kerana kontrak yang diberikan oleh Sarawak Energy akan dibiayai di bawah Program Pembiayaan Vendor ini dengan jumlah kontrak yang diberikan oleh Sarawak Energy bernilai lebih RM500 juta setahun.

“Bank Islam akan berada dalam kedudukan yang lebih baik untuk membantu vendor mendapatkan modal yang diperlukan untuk membolehkan mereka memperkukuhkan kapasiti dan keupayaan perniagaan,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, Bank Islam berbangga dapat menjalin kerjasama dengan Sarawak Energy dan SJPP dalam menyokong inisiatif kerajaan dalam menggalakkan kelestarian tenaga di Malaysia dan pada masa sama turut menyumbang dalam memenuhi keperluan tenaga yang boleh dipercayai dan boleh diperbaharui di Sarawak.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 November 2019 @ 12:05 PM