SURINA (enam dari kiri, berdiri) selepas melancarkan Level Up KL 2019 di Bangsar South, semalam.
Oleh Alzahrin Alias


KUALA LUMPUR: Dasar Ekosistem Kandungan Digital (DICE) yang bertujuan memperkukuhkan industri kandungan digital dalam usaha menjadikan Malaysia hab industri pembuatan kandungan digital serantau akan dilancarkan akhir bulan depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Surina Shukri berkata, dasar itu kini dalam peringkat akhir dan bakal menjadi agenda utama negara memacu pertumbuhan kandungan digital.

Beliau berkata, industri digital menunjukkan peningkatan ketara dan Malaysia mempunyai pelbagai inisiatif dan kepakaran dalam perkara itu.

“Lantaran itu, rangka kerja dasar perlu ada untuk memberikan negara hala tuju dalam 10 tahun akan datang mengenai kandungan digital.

“Kita mahu meningkatkan ekosistem kandungan digital bagi menjadikan Malaysia mampu mencapai sasaran sebagai hab industri pembuatan kandungan digital serantau,” katanya selepas melancarkan edisi kelima Level Up KL di sini, semalam.

Surina berkata, MDEC akan memperkenalkan strategi Ekosistem Kandungan Digital selari usaha mengesahkan Malaysia sebagai destinasi pilihan dari segi ekosistem pembangunan permainan serantau.

Kerajaan, katanya, peka dengan perkembangan industri digital dan mengumumkan cadangan RM20 juta untuk membangunkan industri e-sukan tempatan dalam Belanjawan 2020 yang lalu.

Dalam majlis berasingan, Sedania Innovator Bhd menerusi syarikat tujuan khas (SPV), Esports Pte Ltd (ESPL) yang terbabit dalam industri e-sukan memeterai dua memorandum persefahaman dengan Axis Esports Sdn Bhd dan eGG Network.

Pengarah Urusan Sedania, Datuk Azrin Mohd Noor berkata, kerjasama itu bagi Liga Pro e-sukan, pertandingan e-sukan global dan rangkaian media, ekosistem bersepadu dan terbuka bagi pertandingan, jenama media, penerbit, pasukan dan pemain yang memberi tumpuan kepada komuniti dan interaktiviti digital.

“Ini cabang baharu Sedania dalam industri e-sukan dan kami melihat ia berpotensi untuk berkembang.

“Pendedahan dalam pembangunan industri ini akan berlangsung dalam jangka masa panjang. Ia fokus pertumbuhan baharu kami,” katanya.

Pada majlis itu, Media Prima Digital turut mengumumkan kerjasama dengan syarikat media digital global, Ziff Davis yang juga sebahagian daripada firma senaraian NASDAQ dan J2 Global Inc untuk mengendalikan IGN Asia Tenggara kepada penggemar hiburan dan permainan digital di Malaysia, Singapura, Indonesia dan Filipina.

IGN adalah jenama media terkenal di dunia dalam kalangan peminat permainan digital, filem dan hiburan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 November 2019 @ 6:46 AM