PENOLONG pengurus Costa Coffee, Na’im (kanan) bersama pengurus Costa Coffee Sunway Pyramid, Noor Fara’ Ain serta Barista Maestro, Mohd Izfar. FOTO Nur Adibah Ahmad Izam.
Suliati Asri

PERNAHKAH anda merasa kemanisan dan kepelbagaian rasa yang boleh nikmati dari biji kopi yang sama selain dari rasa kopi yang pahit?

Bagi si pencinta kopi, kopi dari biji kopi yang tunggal bukan hanya mempunyai keunikan rasa tetapi ia mampu memberikan pelbagai lagi perasa yang nyata di luar sangkaan.

Costa Coffee di Sunway Pyramid, Bandar Sunway menawarkan satu pengalaman baru kepada pencinta kopi untuk menikmati rasa kopi sebenar yang ternyata unik dan bukan pahit semata menerusi segmen Brew Bar.

Ia adalah yang pertama di Malaysia dan kedua di dunia. Bayangkan saja kopi yang diminum tanpa gula dan susu memberikan pelbagai rasa di luar jangkaan seperti gabungan rasa citrus, rempah dan banyak lagi selain rasa asli kopi.

Rasa unik itu pula terhasil hanya menggunakan biji kopi asli, tanpa campuran gula atau susu dan diproses di hadapan mata pelanggan.

Penolong Pengurus Costa Coffee Sunway Pyramid, Na’im Azimi berkata, menerusi segmen Brew Bar yang hanya ditawarkan di sini, kami memberikan pengalaman kopi yang baru kepada pelanggan dengan memaparkan biji kopi asli tunggal dan campuran.

Katanya, kopi yang disediakan juga menggunakan peralatan unik menggabungkan kaedah pembuatan kopi tradisional dan inovatif sekali gus menghasilkan kopi yang mempunyai pelbagai rasa unik saat dihirup.

“Di sini, kita ada pelbagai karektor pelanggan yang datang dengan cita rasa berbeza dalam hidangan kopi yang dipilih. Ada antara mereka yang tidak terlalu tahu mengenai kopi dan ada juga yang sudah arif.

“Bagi pelanggan yang tahu serba sedikit mengenai kopi, pendek kata pencinta kopi, kita akan menawarkan mereka untuk ke segmen Brew Bar sekali gus merasai keenakan kopi yang cukup unik,” katanya.

Menerusi segmen Brew Bar ini, ia lebih kepada perkongsian dalam mengetahui dan memahami lebih banyak mengenai kopi. Tiga mesin penyediaan kopi disediakan iaitu French Press, Syphon dan Trinity One dengan pilihan biji kopi berbeza yang semuanya adalah 100 peratus biji kopi arabica dari jenis Character Roast Arabica iaitu Colombian Single Origin, Indian Single Estate dan Winter Berries Blend yang menggabungkan biji kopi dari Brazil, Colombia dan Peru.

French Press adalah peralatan yang digunakan untuk kopi yang lebih klasik dan kebanyakan pencinta kopi ada menggunakan peralatan ini di rumah selain sesuai untuk pilihan biji kopi tunggal.

Syphon pula adalah peralatan penyediaan kopi yang menggabungkan rendaman dan vakum. Penggunaan peralatan ini juga secara tidak langsung dapat mencipta pengalaman kopi yang mempunyai pelbagai rasa dan seimbang. Ia juga adalah pilihan ramai pelanggan selain proses penyediaannya yang menarik perhatian.

Trinity One pula mampu memberikan lebih banyak rasa kopi kerana menerusi alat ini ia terbahagi lagi kepada tiga kaedah iaitu Press Brew, Pour over dan Immersion yang pastinya menghasilkan rasa kopi yang enak dan pelbagai.

Maestro Barista, Mohd Izfar Makmum, berkata rasa kopi ini sebenarnya sangat unik kerana mempunyai karektor tersendiri dengan empat elemen iaitu aroma, body (kepekatan), kandungan berasid dan rasa.

Katanya, empat elemen ini juga akan berbeza dan berubah walau menggunakan biji kopi yang berlainan berdasarkan kaedah penyediaannya menerusi kaedah bru.


BARISTA Maestro, Mohd Izfar (kiri) bersama Na’im Azimi melakukan proses membuat kopi. FOTO Nur Adibah Ahmad Izam.

“Sebagai contoh, apabila kita menggunakan Trinity One menerusi kaedah Immersion dengan biji kopi Colombia Single Origin, ia akan memberikan rasa kopi dengan kesegaran limau dengan kemanisan madu.

“Dengan Syphon dan jenis biji kopi yang sama, pelanggan boleh merasa Zingy limau dan citrus lemon. Ia pastinya rasa di luar jangkaan pelanggan kerana kebanyakan merasakan kopi itu pahit,” katanya.

Dengan segmen Brew Bar ini kata Mohd Izfar, mereka juga akan melakukan pelbagai perkongsian mengenai bijian kopi yang digunakan untuk menyediakan kopi yang diingini pelanggan dan mereka boleh memilih rasa apa yang ingin di cuba.

“Jika ada pelanggan yang ingin memesan Americano yang kita tahu dia adalah penggemar kopi, kita akan tawarkan untuk mereka ke segmen Brew Bar sekali gus mereka boleh menikmati rasa kopi yang berlainan selain Americano,” katanya.

Tambah Na’im lagi kebanyakan maklum balas yang diterima dari pelanggan sangat positif walaupun Costa Coffee Sunway Pyramid satu-satunya yang menyediakan segmen Brew Bar ini di Malaysia.

Katanya, di sini Costa Coffee menawarkan dua pilihan kepada pelanggan iaitu Espresso Bar dan Brew Bar.

“Pilihan pelanggan tidak terhad kepada jenis kopi yang biasa di jual di kedai-kedai kopi dengan campuran gula dan susu sebaliknya pilihan mereka lebih meluas sekali gus dapat merasai keunikan rasa kopi yang selama ini tidak pernah terbayangkan.

“Dengan segmen Brew Bar ini, kita juga lebih fleksibel dalam penyediaan kopi kepada pelanggan terutama yang mengetahui mengenai kepelbagaian rasa kopi yang boleh dihasilkan menerusi kaedah ini.

“Ada sesetengah pelanggan terutama penggemar kopi, mereka tahu apa jenis kopi yang mereka inginkan tetapi kebiasaannya tidak dapat sediakan di mana-mana kedai kopi.

“Dengan Brew Bar ini, kita boleh menghasilkan rasa kopi mengikut kehendak pelanggan tetapi tetap mengikut Prosedur operasi standard (SOP) kita di Costa Coffee,” katanya.

Selain menawarkan pelbagai pilihan kopi yang enak, di Costa Coffee menerusi Brew Bar ini, semua barista yang mengendalikan segmen ini adalah berpengalaman dan bersedia berkongsi serba sedikit mengenai keunikan rasa kopi yang tidak ramai yang tahu.


BARISTA Maestro, Mohd Izfar melakukan proses membuat kopi. FOTO Nur Adibah Ahmad Izam.

Sementara itu, Pengarah Gapurna Permai Sdn Bhd (GPSB) Nor Izzati Mohamad Salim berkata Malaysia adalah satu-satunya negara di Asia Tenggara yang menawarkan pengalaman Costa Coffee Brew Bar sekali gus menjadikannya satu kejayaan penting bagi Costa Coffee.

“Dengan Brew Bar ini, Costa Coffee memberikan pengalaman baru dan menyediakan hidangan hidangan kopi dengan biji kopi asli tunggal dan campuran.

“Tidak hanya dengan itu, ia disediakan dengan peralatan unik yang menggabungkan kaedah pembuatan kopi secara tradisional dan inovatif.

“Pelanggan juga boleh menikmati keunikan rasa kopi dengan harga antara RM14 hingga RM15 setiap cawan dan memilih dari tiga kaedah pembuatan kopi yang ditawarkan dalam menu Brew Bar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 November 2019 @ 3:06 PM