ZHANG ketika berucap pada APAC 2019 Huawei Developer Day di Singapura.
Mohd Fauzi Abdullah


SINGAPURA: Syarikat gergasi telekomunikasi China, Huawei bersedia memperkukuh kedudukannya dalam membangunkan ekosistem Huawei Mobile Services (HMS).

Presiden Huawei Bahagian Perkhidmatan Awanan, Zhang Ping’an berkata, keazaman pihaknya membangunkan platform pintar itu diterjemahkan pada Asia Pasifik (APAC) 2019 Huawei Developer Day (HDD) yang diadakan di sini, semalam.

Katanya, pada persidangan itu, HMS mendedahkan pelbagai program insentif pemaju dan keupayaan mereka dalam membangunkan kandungan bermutu tinggi platform berkenaan.

“Pada masa sama, ia juga memperkenalkan perkhidmatan baharu dan faedah kepada pengguna di pasaran APAC untuk meningkatkan lagi pengalaman pengguna.

“HMS kini menyediakan pasaran global kemudahan seperti Huawei AppGallery, Huawei ID, Huawei Themes, Huawei Assistant dan Huawei Mobile Cloud.

“Sehingga kini, ia meliputi lebih 570 juta pengguna dari 170 negara,” katanya.

Beliau berkata, platform HMS kini berkembang pesat di seluruh dunia.

“Sebagai contoh, Huawei AppGallery memulakan perkhidmatan pada April tahun lalu namun dalam masa kurang dua tahun, kami memperoleh lebih 390 juta pengguna aktif bulanan (MAU) purata dengan jumlah muat turun 180 bilion kali setiap tahun,” katanya.

Katanya, melalui Huawei AppGallery, pengguna boleh mencari dan memuat turun aplikasi mudah alih daripada 18 kategori berbeza termasuk permainan, pendidikan, gaya hidup dan fesyen.

Menurutnya, ketika ini lebih satu juta pemaju mendaftar sebagai pembangun Huawei dan lebih 50,000 aplikasi disepadukan dengan HMS.

“Bagi mengekalkan trend menaik ini, HMS kini memberi tumpuan kepada pembangunan aplikasi dan perkhidmatan berkualiti tinggi kepada Huawei AppGallery, dengan mengambil kira pengalaman global yang konsisten dan ciri unik tersedia untuk pengguna.

“Kami turut mengambil pendekatan proaktif dalam menyediakan aplikasi perkhidmatan e-hailing, kewangan, pendidikan, makanan, hiburan dan gaya hidup untuk meningkatkan kandungan platform secara beransur-ansur di setiap negara. Pada masa sama, pengguna juga dapat menikmati lebih banyak perkhidmatan eksklusif dan ganjaran untuk memaksimumkan pengalaman mereka dengan Huawei,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 November 2019 @ 6:41 AM