DARI kiri, Ketua Pegawai Eksekutif Axiata Digital Services, Khairil Abdulllah, Jamaludin, Gobind dan Srinivas pada pelancaran pusat kecemerlangan ADA, semalam.
Sofyan Rizal Ishak


Kuala Lumpur: Analytics. data. advertising (ADA) yang menjadi sebahagian daripada Kumpulan Axiata yang memberi tumpuan kepada analisis, data dan pengiklanan merancang untuk melabur RM120 juta dalam tempoh tiga tahun akan datang dalam aspek prasarana data dan modal insan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Srinivas Gattamneni berkata, syarikat juga sudah melabur RM60 juta pada tahun ini dalam usaha untuk terus memperkasakan infrastruktur data negara.

Selain itu, ADA juga mewujudkan pusat kecemerlangan ADA di Menara Axiata untuk membantu menampung permintaan berkaitan data dan digital yang semakin meningkat di pasaran tempatan dan lapan pasaran seperti Indonesia, Thailand, Filipina, Singapura, Korea Selatan, Kemboja, Bangladesh dan Sri Lanka.

“Usaha pengembangan ini mewujudkan peranan baharu, termasuk jawatan berkemahiran tinggi dalam sektor Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) iaitu tenaga kerja yang mempunyai permintaan tinggi di Malaysia,” katanya pada pelancaran pusat kecemerlangan ADA, semalam.

Hadir sama, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo serta Presiden/Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Axiata Group, Tan Sri Jamaludin Ibrahim.

ADA adalah syarikat yang menyepadukan data, penemuan, media dan kandungan bagi menyampaikan hasil kepada syarikat perniagaan di mana ia penjenamaan semula daripada pelbagai jenama seperti AdParlor, AdReach dan Digital Reach.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 November 2019 @ 6:42 AM