JEFFRI Salim.
hmdigital

KUALA LUMPUR: Sime Darby Bhd tidak bercadang untuk keluar dari pasaran Hong Kong walaupun berlakunya protes berterusan di wilayah autonomi itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sime Darby, Datuk Jeffri Salim Davidson berkata, Hong Kong kekal pasaran penting dengan segmen kereta mewah dan perindustrian penyumbang utama kepada kumpulan, sebanyak 5.9 peratus.

“Hong Kong pasaran yang matang dengan kehadirannya melebihi 56 tahun di negara ini. Negara itu juga pintu masuk kepada pasaran China yang sangat luas.

“Jadi, kami sudah ada legasi di sana dan apa yang utama ketika ini memastikan semua kakitangan di sana (Hong Kong) selamat,” katanya selepas mesyuarat agung tahunan Sime Darby di sini, semalam.

Ketika ini, Sime Darby memiliki 1,200 pekerja di Hong Kong.

Mengulas lanjut, Jeffri berkata, cabang perindustriannya menunjukkan prestasi memberangsangkan dengan syarikat itu membekalkan alat ganti ke beberapa limbungan dan projek infrastruktur di Hong Kong.

“Pengedaran Caterpillar mencatatkan keuntungan, di mana kami membekalkan banyak peralatan khususnya untuk membina insfrastruktur seperti jalan raya dan sambungan transit aliran massa,” katanya.

Beliau juga kekal optimis dengan pasaran China namun menjangkakan akan berlaku ketidaktentuan berikutan peningkatan perang dagangan antara negara itu dengan Amerika Syarikat (AS).

“Saya lihat akan berlaku sedikit ketidakpastian dalam perniagaan permotoran namun setakat ini ia masih baik.

“Kami ada hubungan perniagaan kukuh dengan jenama besar antarabangsa seperti Caterpillar selama 90 tahun dan BMW selama 47 tahun,” katanya.

Sime Darby memperuntukkan antara RM500 juta dan RM600 juta untuk perbelanjaan modal bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2020.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 November 2019 @ 6:50 AM