HANIZA (kanan) diiringi Zulkifly (tiga dari kanan) melawat ruang pameran selepas merasmikan pembukaan MAPEX 2019.
hmdigital

SHAH ALAM: Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) menjangkakan penjualan unit kediaman melebihi RM7.5 bilion hingga hujung tahun ini menerusi Kempen Pemilikan Rumah (HOC).

Pengerusi Rehda Selangor, Zulkifly Garib berkata, RM7.5 bilion yang diperoleh sejak Januari lalu mewakili 12,000 unit kediaman di Selangor yang mana kebanyakan rumah terjual adalah jenis teres.

“Kami dapati trend pembelian rumah semakin tertumpu di kawasan Shah Alam dan Klang.

“Jadi, melalui penganjuran MAPEX 2019 Shah Alam/Klang ini, saya percaya ia mampu menyumbang kepada peningkatan unit kediaman dijual,” katanya selepas pelancaran MAPEX 2019 Shah Alam/Klang di sini, semalam.

Hadir sama, Exco Kehidupan dan Bandar Selangor, Haniza Mohamed Talha.

Zulkifly berkata, melalui MAPEX kali ini juga pemaju giat menjalankan promosi dan menawarkan insentif menarik kepada pembeli.

“Kami juga optimis sasaran jualan melebihi RM7.5 bilion yang ditetapkan sepanjang HOC berlangsung dari Januari hingga Disember depan dapat dicapai.

“Malah, bagi Rehda pula disamping penawaran 10 peratus diskaun oleh pemaju, kami turut memberi pengecualian duti setem untuk surat cara pindah milik bagi pembeli yang layak,” katanya.

Sempena HOC-MAPEX 2019 yang berlangsung 15 hingga 17 November ini di Pusat Beli-Belah Central I-City, 11 pemaju hartanah swasta mempamerkan pembangunan hartanah masing-masing termasuk di luar kawasan Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 November 2019 @ 6:29 AM