NOR Shamsiah memberikan ucapan ketika sidang media, semalam.
hmdigital

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) menegaskan pembiayaan bank terus disediakan untuk pembeli rumah serta kumpulan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negara ini.

Gabenor BNM, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata, permintaan terhadap pembiayaan perniagaan menunjukan lonjakan dengan pertumbuhan permohonan pinjaman yang lebih tinggi.

Beliau berkata, pembiayaan bersih berkembang 4.8 peratus pada asas tahunan dalam keadaan pertumbuhan pinjaman yang sederhana pada ketika ini.

“Fasiliti pembiayaan daripada pihak institusi perbankan dalam negara terus menjadi antara pemacu yang merancakkan aktiviti ekonomi.

“Berdasarkan prestasi pinjaman yang dilulus dan disalurkan institusi perbankan Januari hingga September tahun ini, RM117 bilion pinjaman rumah sudah diluluskan manakala RM64 bilion pula sudah disalurkan.

“Untuk segmen PKS pula, pada tempoh sama, RM49 bilion diluluskan dan RM218 bilion untuk pinjaman disalurkan,” katanya pada sesi Sidang Media Prestasi Ekonomi Suku Ketiga 2019 di sini, semalam.

Mengulas sebab utama permohonan pembiayaan oleh isi rumah dan PKS ditolak oleh pihak bank, Nor Shamsiah berkata, penyebab utama kegagalan peminjam ialah mereka mempunyai terlalu banyak hutang.

“Ada diantara golongan peminjam sebenarnya tiada pendapatan mencukupi serta menghadapi masalah aliran tunai yang perlu diperkemaskan.

“Rekod prestasi kewangan yang dikategorikan sebagai lemah turut menjadikan permohonan pinjaman isi rumah mahupun PKS ini ditolak oleh institusi perbankan,” katanya.

Menurutnya, pihak bank pusat sentiasa melaksanakan pelbagai inisiatif dalam mempertingkatkan keseluruhan ekosistem pembiayaan di dalam negara menerusi kerjasama dengan beberapa agensi berkaitan.

Katanya, usaha terbabit menyeluruh kerana ia memberi penekanan terhadap segmen isi rumah dan juga perniagaan seperti PKS.

“Usaha berkenaan antara lain menyediakan jaminan pembiayaan untuk PKS dan pembeli rumah, Dana BNM untuk membeli rumah mampu milik, mekanisme penyelesaian hutang serta literasi kewangan dan bantuan khidmat nasihat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 November 2019 @ 7:26 AM