HONDA Malaysia meneruskan komitmennya untuk memberikan pengalaman lebih baik menerusi penambahan pusat badan dan cat (BP) di semua pengedar sahnya.
hmdigital

KUALA LUMPUR: Honda Malaysia meneruskan komitmennya untuk memberikan pengalaman pelanggan lebih baik menerusi penambahan pusat badan dan cat (BP) di semua pengedar sahnya.

Tahun ini, Honda Malaysia membuka enam pusat BP baru yang menjadikan 28 Honda BP di seluruh negara.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Toichi Ishiyama berkata, inisiatif berkenaan dilakukan bagi memberi ketenangan kepada pelanggan khususnya selepas pembelian kenderaan dilakukan.

“Ia selaras dengan hasrat syarikat untuk memberikan kemudahan kepada pelanggan dalam mendapatkan pelbagai keperluan hanya di satu pusat saja,” katanya.

Menurutnya, pihaknya sentiasa mencari ruang untuk memberikan lebih banyak kemudahan kepada pelanggan dengan menambah pusat BP.

“Sehingga kini terdapat 28 pusat BP beroperasi di seluruh negara.

“Kami percaya penambahan pusat BP ini akan membantu Honda Malaysia menampung permintaan yang semakin bertambah selain menawarkan perkhidmatan selepas jualan berkualiti tinggi.

“Malah, pelanggan juga dapat memastikan kenderaan mereka diselenggara kakitangan teknikal berkemahiran dalam persekitaran kondusif,” katanya.

Katanya, Honda Malaysia berjaya mengekalkan pertumbuhan jualan dalam tempoh lima tahun dengan purata peningkatan 30 peratus antara 2014 hingga 2018.

“Ia juga dapat dilihat melalui peningkatan servis selepas jualan yang diterima. Sehingga Oktober lalu, kami mencatatkan penerimaan 36,000 kenderaan di pusat BP, meningkat 40 peratus berbanding tahun lalu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 November 2019 @ 9:10 AM