MADANI (kanan) bertukar dokumen dengan Dr Wan Azhar pada majlis menandatangani MoU di antara UMP dan MARii.
Oleh Sofyan Rizal Ishak


KUALA LUMPUR: Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) bakal memperkenalkan Dwi-Sarjana bagi Program Kejuruteraan Automotif bermula pada tahun hadapan melalui kerjasama dengan Universiti Malaysia Pahang (UMP).

Untuk permulaan, program yang akan ditawarkan di Akademi Teknologi MARii, Rawang itu membabitkan penyertaan 15 pelajar terdiri daripada individu yang sudah bekerja dan memiliki pengalaman dalam bidang automotif.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Madani Sahari berkata, pengenalan program itu adalah sebahagian daripada kerjasama yang dijalankan dengan UMP di samping beberapa bidang lain seperti kajian, akademik dan program pertukaran pelajar.

Menurutnya, program itu akan memberi fokus kepada autotronik iaitu bidang yang membabitkan penggunaan komponen elektronik bagi menghasilkan teknologi kereta terkini dan terhubung.

“Teknologi seumpama ini amat penting bagi bidang automotif masa depan dan mewujudkan trend baharu yang akan mengubah cara kita melaksanakan pembuatan automotif pada masa depan,” katanya pada sidang media selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara MARii dan UMP di sini, semalam.

Hadir sama, Naib Canselor UMP, Prof Ir Dr Wan Azhar Wan Yusoff dan Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Datuk Seri Ibrahim Ahmad.

Antara topik yang bakal dipelajari melalui program itu adalah proses kecerdasan buatan (AI) dalam automasi, sistem bateri bagi pemanduan moden, protokol diagnosis dan pelbagai bidang lain berkaitan kejuruteraan automotif.

Beliau berkata, pelajar terbabit berpeluang untuk mendapatkan pengetahuan dan pengalaman yang diberikan oleh tenaga pengajar daripada Karlsruhe University of Applied Sciences (HsKA), Jerman dan UMP berikutan UMP memiliki kerjasama baik dengan institut pengajian tinggi itu dalam pelbagai bidang berkaitan sejak 2012.

“Mereka ini bukan saja dapat mempertingkatkan pengetahuan dan pengalaman dalam bidang automotif malah berpeluang menerokai bidang baharu yang boleh digunakan dalam mereka bentuk dan menghasilkan kereta masa depan,” katanya.

Selain program Dwi-Sarjana, MARii dan UMP juga merancang untuk menubuhkan pusat kecemerlangan dalam tempoh tiga bulan akan datang dengan memberi lebih fokus kepada pengkhususan tertentu dalam bidang automotif.

Sementara itu, Wan Azhar berkata, UMP sentiasa aktif mencari rakan strategik bagi memindahkan teknologi yang diperolehnya melalui kerjasama dengan HsKA kepada pasaran tempatan sejak hampir 10 tahun lalu.

“Sebelum ini, kami menawarkan program ijazah sarjana muda namun kali ini dapat mewujudkan juga program sarjana kepada pelajar dan kami merancang untuk memperkenalkan beberapa program pengajian lain bersama MARii melalui CoE yang bakal ditubuhkan nanti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 November 2019 @ 9:22 AM