hmdigital

KUALA LUMPUR: Mendalami keperluan dan kehendak pelanggan adalah perkara utama yang perlu difikirkan sebelum membuat sebarang strategi pemasaran.

Ini kerana sekiranya sesuatu produk itu ditawarkan tanpa mengetahui apa yang diinginkan pelanggan, ia ternyata langkah yang sia-sia.

Naib Presiden Pemasaran dan Komunikasi unifi, Lai Shu Wei berkata, setiap strategi dirangka perlu kembali kepada perkara asas.

“Walaupun kita dikelilingi pelbagai teknologi, namun jangan sesekali mengetepikan perkara asas.

“Sebagai contoh, dengan pelbagai aplikasi tempahan makanan yang ada ketika ini, adakah kita mengambil lebih banyak makanan berbanding sebelum ini?

“Kita lebih mudah menempah makanan tanpa perlu beratur panjang, namun perkara asasnya masih sama iaitu kita mengambil jumlah makanan yang sama seperti sebelum ini,” katanya pada sesi temu ramah dengan Kumpulan The New Straits Times Press (NSTP), di sini.

Berpengalaman lebih 20 tahun dalam bidang pemasaran, Lai dinobatkan sebagai Malaysian CMO of The Year 2019 dan turut membawa pulang anugerah Marketing Trailblazer bagi kategori Telco pada Malaysia CMO Awards 2109, baru-baru ini.


LAI Shu Wei

Menurutnya, setiap produk ditawarkan perlu mengambil kira kehendak asas pelanggan.

“Dalam sektor telekomunikasi, pelanggan mahukan sambungan Internet dan kita harus tahu cara tepat untuk memberikan produk yang dikehendaki tanpa perlu sebarang produk tambahan pada harga munasabah,” katanya.

Lai berkata, mereka yang terbabit dalam bidang pemasaran perlu sentiasa belajar daripada pelanggan kerana kelompok ini bersifat dinamik dan mudah berubah.

“Saya sentiasa meletakkan diri dalam mod beta sebagaimana perisian yang masih dalam proses percubaan. Kita perlu sentiasa belajar dan terbuka untuk sebarang perubahan.

“Satu ketika dulu, pelanggan telko hanya mahukan perkhidmatan SMS, namun ia berubah kepada sambungan Internet dan kini data besar.

“Kita perlu sentiasa terbuka dengan perubahan ini dan menawarkan apa yang diinginkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 November 2019 @ 9:11 AM