PEMBINAAN terowong untuk laluan ECRL.
hmdigital

KUALA LUMPUR: Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) akan mengumumkan cadangan jajaran baharu dari Kota Bharu ke Dungun pada Pemeriksaan Awam yang akan bermula pada Isnin ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MRL, Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata, orang awam boleh memberi maklum balas dan cadangan mengenai laluan Kota Bharu-Dungun (juga dikenali sebagai Seksyen A) yang merangkumi 210.4 kilometer (km) laluan utama, cadangan jajaran sisihan sepanjang 14.4 km untuk masa hadapan dan enam stesen penumpang/kargo sepanjang Pemeriksaan Awam ECRL selama tiga bulan itu.

“Jajaran baharu Seksyen A ECRL mencadangkan dua stesen untuk Kelantan iaitu Kota Bharu dan Pasir Puteh, manakala Terengganu akan mempunyai empat stesen, masing-masing di Jerteh, Bandar Permaisuri, Kuala Terengganu dan Dungun.

“Cadangan jajaran sisihan sepanjang 1.4 km itu dijangka menghubungkan laluan utama ECRL di Kelantan dengan pelabuhan Tok Bali,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Menurutnya, laluan Utama Kota Bharu-Dungun atau Seksyen A sepanjang 210.4 km membabitkan 43.9 jajaran rel di Kelantan dan 166.5 km lagi di Terengganu.

“Cadangan jajaran baharu Seksyen A adalah selari dengan nilai kejuruteraan komprehensif yang membawa kepada penjimatan kos projek ECRL yang ditambah baik.

“Jajaran sejauh 210.4 km itu juga akan dibina di kawasan pedalaman berbanding kawasan berhampiran pantai di Kelantan dan Terengganu,” katanya.

Menurutnya, MRL telah menerima kelulusan bersyarat Skim Kereta Api bagi Seksyen A daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) pada 4 November 2019, yang membolehkan Pemeriksaan Awam dilakukan bagi memastikan projek terbabit turut mengambil kira pendapat dan jangkaan penduduk tempatan terhadap cadangan jajaran baharu.

Tapak pameran Pemeriksaan Awam untuk Seksyen A akan beroperasi pada hari bekerja, bertempat di ibu pejabat APAD di Kuala Lumpur dari 25 November 2019 hingga 24 Februari 2020 manakala lokasi bagi pemeriksaan awam di Kelantan dan Terengganu akan diumumkan dari semasa ke semasa dalam tempoh tiga bulan.

“Kami juga telah memulakan penilaian kesan alam sekitar, penilaian kesan sosial, dan penilaian kesan warisan untuk Bahagian A kepada pihak berkuasa kerana laporan ini adalah antara prasyarat bagi mendapatkan kelulusan Skim Kereta Api daripada APAD.

“Orang ramai juga boleh melayari laman web MRL (www.mrl.com.my) atau mengakses platform media sosial projek ECRL untuk maklumat terkini dan perincian pelaksanaan Pemeriksaan Awam,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 November 2019 @ 9:17 AM