LAZADA Malaysia memeterai MoU bersama Miros.
hmdigital

KUALA LUMPUR: Lazada Malaysia memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) untuk meningkatkan kesedaran pentingnya kerusi keselamatan kanak-kanak (Child Restraint System - CRS) dalam mengurangkan kematian akibat kemalangan jalan raya.

Melalui perjanjian ini, Lazada Malaysia melancarkan program Car Seat Assurance iaitu senarai khusus produk CRS di LazMall yang menepati spesifikasi piawaian ditetapkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN) ECE R44/04 dan ECE R129.

Ia dijalin sempena penguatkuasaan penggunaan CRS bermula 1 Januari tahun hadapan.

Ketua Pegawai Perniagaan Lazada Malaysia, Kevin Lee berkata, menerusi program Car Seat Assurance Lazada, pihaknya dapat menyediakan pilihan produk CRS yang menepati piawaian ditetapkan.

“Ibu bapa juga lebih mudah membuat pilihan kerusi kanak-kanak yang bersesuaian untuk melindungi cahaya mata mereka.

“Kami menyediakan pilihan produk kerusi keselamatan daripada lingkungan harga berbeza untuk semua keperluan individu daripada pelbagai peringkat umur.

“Ini juga dapat meningkatkan penggunaan CRS, sekali gus mengurangkan kematian akibat kemalangan membabitkan kanak-kanak,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 November 2019 @ 7:03 AM