DR Mahathir bersama Dr Siti Hasmah merasmikan majlis penamaan kapal di Pulau Gejoe, Korea Selatan, semalam. FOTO BERNAMA
hmdigital

GEOJE(KOREA SELATAN): Syarikat minyak dan gas nasional, Petroliam Nasional Bhd (Petronas) menerajui perniagaan gas asli cecair (LNG) global dengan kemudahan FLNG Duanya yang bakal beroperasi, menjadikannya satu-satunya pemain dalam sektor berkenaan yang memiliki dan mengoperasikan dua kemudahan LNG terapung.

PFLNG Satu beroperasi sejak 2017.

Pencapaian ini menunjukkan kedudukan kukuh syarikat itu dalam industri LNG, merintis penyelesaian inovatif bagi memastikan bekalan LNG yang terjamin untuk menampung peningkatan permintaan terhadap tenaga lebih bersih.

“Pembangunan PFLNG Dua langkah ke arah menyediakan sumber bekalan baharu tenaga bersih serta merealisasikan aspirasi bersama kami bagi masa depan yang rendah karbon,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin pada majlis penamaan kapal itu di sini, semalam.

PFLNG Dua penyelesaian utama oleh Petronas untuk menjana wang daripada lapangan gas laut dalam terkawal dengan cara selamat, ekonomi dan mampan.

Kemudahan LNG terapung itu untuk mengekstrak gas daripada simpanan gas laut dalam dengan kedalaman hingga 1,500 meter.

“Sebagai pemain tenaga bersepadu, Petronas melabur sepenuhnya untuk memanfaatkan potensi gas asli menerusi penyelesaian teknologi sejajar Penyata Tujuan kami menjadi rakan tenaga meningkatkan kehidupan bagi masa depan yang mampan,” katanya.

PFLNG Dua berjaya disiapkan Petronas bersama rakan kongsinya, JGC Corporation dan Samsung Heavy Industries, konsortium bertanggungjawab bagi kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan, pemasangan dan pengoperasian kemudahan LNG terapung itu.

Pembinaan kemudahan LNG terapung kedua Petronas yang bermula pada 2015 berjalan lancar mengikut jadual untuk disiapkan dan belayar pada Februari 2020.

PFLNG Dua ditambat di lapangan gas Rotan pada kedalaman air 1,300 meter, terletak 140 kilometer di luar pantai Kota Kinabalu, Sabah dengan kapasiti menghasilkan 1.5 juta tan metrik LNG setahun.

Majlis penamaan kapal itu yang diadakan di Samsung Heavy Industries Shipyard di Pulau Geoje, Korea Selatan dirasmikan Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali sebagai Lady Sponsor bagi PFLNG Dua.

Upacara itu berlangsung dengan majlis pemeteraian plak peringatan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di atas kapal PFLNG Dua diikuti lawatan ke dalam kemudahan LNG terapung sepanjang 393 meter itu.

Turut hadir, Pengarah Wakil dan Presiden JGC Corporation, Tetsuya Muramoto dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Samsung Heavy Industries, Joon Ou Nam.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Petronas, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin berkata, PFLNG Dua akan melonjakkan kapasiti gas asli cecair (LNG) kepada lebih 34 juta tan setahun.

Beliau berkata, menerusi pengoperasian PFLNG Dua, ia memperluas sumber dan peluang dagangan LNG Petronas untuk menyediakan penyelesaian fleksibel dan inovatif tersendiri bagi memberi perkhidmatan lebih baik kepada pasaran.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 November 2019 @ 7:13 AM