KERJASAMA di antara TM dan OYO Malaysia membuka dimensi baharu dalam aspek komunikasi.
KERJASAMA di antara TM dan OYO Malaysia membuka dimensi baharu dalam aspek komunikasi.
Oleh Sofyan Rizal Ishak


KUALA LUMPUR: Telekom Malaysia Berhad (TM) menjalinkan kerjasama komersial dan pemasaran dengan OYO Malaysia bagi menawarkan pengalaman penginapan terhubung yang dipertingkatkan kepada tetamu bagi rangkaian hotel dan kediamannya iaitu OYO Hotels and Homes.

Melalui kerjasama itu, TM akan menyediakan himpunan penuh perkhidmatan unifi termasuk akses jalur lebar berkelajuan tinggi, unifi TV dan unifi Mobile bagi membolehkan pengunjung di rangkaian jenama itu menikmati pengalaman jalur lebar dan hiburan menyeluruh.

Naib Presiden Jenama dan Komunikasi Kumpulan TM, Izlyn Ramli berkata, kerjasama selama dua tahun itu membuktikan sokongan berterusan syarikat kepada industri hospitaliti dan pelancongan di Malaysia.

“Saya berbangga kerana TM dipilih sebagai rakan penyelesaian komunikasi dan komunikasi serta teknologi maklumat (ICT) mereka di mana penyelesaian menyeluruh ini akan meningkatkan pengalaman digital terhubung buat tetamu di setiap premis mereka di seluruh negara,” katanya pada majlis pengumuman kerjasama antara TM dan OYO Malaysia, semalam.

Syarikat telekomunikasi bersepadu itu juga akan turut menyediakan pasukan khidmat pelanggan dan pasukan teknikal khusus untuk memberikan bantuan kepada OYO Hotels and Homes bagi memastikan kelangsungan perniagaan dan perkhidmatannya.

Sementara itu, Ketua OYO Homes Malaysia, Vimal Balachandran berkata, pihaknya terus menerokai peluang untuk membantu rakan aset untuk mengubah premis dan meningkatkan pengalaman penginapan tetamu dalam setiap aspek, sekali gus membantu mereka untuk meningkatkan kadar penginapan dan keuntungan.

“Untuk peringkat permulaan, kami berhasrat mendaftarkan 200 langganan pakej penuh perkhidmatan unifi TM bagi pemilik kediaman di bawah jenama OYO di sekitar Lembah Klang.

“Kami juga akan terus melengkapkan lagi kemudahan ini di kediaman pemilik OYO seluruh negara dengan sasaran untuk mendaftarkan 1,000 langganan dalam tempoh satu tahun akan datang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Disember 2019 @ 10:22 AM
Digital NSTP Subscribe