PENGERUSI Eksekutif Kumpulan AirAsia, Datuk Kamarudin Meranun (tiga dari kiri) dan Tony (tiga dari kanan) bersama tetamu kehormat selepas majlis pelancaran RedRecords, semalam.
Oleh Nabil Basaruddin


Kuala Lumpur: Kumpulan AirAsia akan memperkukuhkan operasi syarikat penerbangan itu dengan langkah memperhebatkan perniagaan bukan teras yang disasarkan menyumbang sekitar 60 peratus kepada pendapatan kumpulan dalam tempoh lima tahun akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Tan Sri Tony Fernandes berkata, perkembangan ketara itu berdasarkan kepada pelan perancangan kumpulan bagi meneroka pelbagai perniagaan lain dalam usaha memantapkan pendapatannya.

Beliau berkata, ketika ini perniagaan berteraskan penerbangan oleh syarikat tambang murah terbaik dunia itu adalah sekitar 80 peratus kepada pendapatan AirAsia.

Katanya, antara yang dilaksanakan syarikat penerbangan itu untuk meluaskan capaian dalam perniagaan bukan teras adalah dengan menjalin kerjasama dengan Universal Music Group (UMG) bagi melancarkan RedRecords.

“Seperti sebelum ini, kami juga mempunyai produk seperti BigPay dan Santan yang diangkat menjadi jenama global dan terkini, RedRecords pada hari ini.

“Mengambil contoh Santan, banyak pihak mengatakan saya mengambil risiko memperkenalkan restoran fizikal, Santan namun ia semakin dikenali dan jualan tiga hari pertama juga memberangsangkan.

“Sama juga seperti RedRecords, kami mahu terus mencipta jenama dunia dan pada masa sama memperkukuhkan segmen gaya hidup untuk AirAsia,” katanya selepas pelancaran RedRecords di sini, semalam.

RedRecords adalah usaha sama inovatif untuk membangunkan artis baharu Asia dan mengangkat muzik pop Asia (A-pop) kepada audiens baharu di peringkat global.

Selain itu, ia memberi tumpuan kepada pencarian dan pembangunan bakat dari Asia Tenggara serta seluruh benua dengan kriteria pemilihan yang mencerminkan kepelbagaian budaya di Asia.

Syarikat kerjasama strategik itu akan berpangkalan di Kuala Lumpur dan Los Angeles serta menggabungkan kepakaran industri dari UMG dalam pembangunan artis dengan kekuatan pemasaran serantau dan global AirAsia.

Mengulas lanjut, Tony berkata, pihaknya akan memfokuskan kepada transformasi sebagai peneraju gaya hidup dan syarikat perjalanan digital di peringkat global.

“Kami kini kembali kepada industri muzik untuk merevolusikan budaya pop Asia pada masa hadapan dan meletakkannya di pentas global bersama Universal Music sempena pelancaran RedRecords.

“Malah, kami juga merevolusikan perjalanan udara supaya semua orang boleh terbang,” katanya.

Selain itu, pada majlis sama, RedRecords turut mengumumkan artis naungan pertamanya, Jannine Weigel, penyanyi, penulis lirik, pempengaruh dan pelakon.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Disember 2019 @ 8:37 AM