AMINUDDIN (dua dari kiri) ketika melancarkan program Juruaudit Shariah Profesional Bertauliah IBFIM.
hmdigital

KUALA LUMPUR: Sektor kewangan dijangka memerlukan sekitar 200,000 tenaga kerja menjelang 2020 iaitu peningkatan 56,000 berbanding 144,000 tenaga kerja sebelum ini.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Wira Ir Aminuddin Hamzah berkata, pertambahan itu akan didorong oleh permintaan kukuh khususnya daripada institusi kewangan Islam.

Beliau berkata, berdasarkan prestasi semasa, sektor kewangan Islam di Malaysia merekodkan pertumbuhan tahunan sebanyak 10 peratus dalam tempoh tiga dekad lalu.

“Pembiayaan Islam pada masa ini mewakili 34.1 peratus daripada pembiayaan keseluruhan manakala aset perbankan Islam mencecah 31.4 peratus berbanding 14 peratus pada 2008.

“Memandangkan pengauditan shariah dianggap sebagai bidang kepakaran baharu, bilangan juruaudit shariah bertauliah rendah.

“Juruaudit Shariah Profesional Bertauliah (CPSA) menyasarkan untuk melahirkan juruaudit shariah bertauliah yang menguasai pelbagai pengetahuan berkaitan Shariah, perakaunan, pengauditan, risiko dan tadbir urus,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Pada masa sama, Institut Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (IBFIM) menerusi kerjasama strategik dengan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menyasarkan untuk melatih seramai 200 juruaudit setiap tahun.

Usaha sama itu akan dilaksanakan melalui program CPSA bagi meningkatkan ketelusan dan kebertanggungjawaban institusi kewangan Islam dalam penawaran produk dan perkhidmatan.

Ia juga adalah selari dengan dokumen dasar Bank Negara Malaysia (BNM) mengenai tadbir urus shariah untuk memperkukuhkan lagi keberkesanan pelaksanaan tadbir urus dalam institusi kewangan Islam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Disember 2019 @ 8:44 AM