BENYAMIN (tengah) dan Justin melakukan demonstrasi sistem FACES.
Bisnes hmetro


AirAsia melangkah setapak lagi menerusi inovasi digital dengan melancarkan teknologi pemeriksaan keselamatan berdasarkan sistem pengecaman wajah di balai berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Avalon, Melbourne.

Sistem yang dimiliki dan dikendalikan oleh syarikat penerbangan tambang rendah yang dikenali sebagai Fast Airport Clearance Experience System (FACES), di lapangan terbang itu menjadi laluan rentas sempadan pertama yang menawarkan perkhidmatan pengecaman wajah secara biometrik.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X Malaysia, Benyamin Ismail, berkata FACES adalah sistem daftar masuk layan diri pertama di Asia Tenggara yang menggunakan teknologi pengecaman wajah.

Beliau berkata, ia membolehkan penumpang menaiki penerbangan tanpa mengemukakan dokumen perjalanan selepas melakukan proses pendaftaran masuk.

Katanya, penumpang hanya perlu mengimbas muka mereka dalam aplikasi FACES di kiosk pintu pelepasan untuk pengesahan identiti dan terus masuk ke pesawat.

“Operasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Avalon kini menjadi lebih cekap dan pantas dengan penggunaan FACES.,” katanya.

“Ia juga sebagai transformasi digital AirAsia dan langkah pertama ke arah matlamat menjadikan proses daftar masuk tanpa kertas pada masa hadapan, selain memberikan pengalaman perjalanan menyeronokkan melalui inovasi digital,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis ulang tahun pertama penerbangan AirAsia ke Avalon dan pelancaran aplikasi FACES di balai perlepasan Lapangan Terbang Antarabangsa Avalon, baru-baru ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Avalon Airport, Justin Giddings.

Benyamin berkata, aplikasi FACES sudah dilaksanakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching .

Ia mendapat reaksi positif daripada penumpang, malah katanya, AirAsia akan berusaha untuk memperluaskan kemudahan ini ke lapangan terbang domestik seluruh negara.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Disember 2019 @ 7:54 AM