PEMBANGUNAN di Tanjung Penyabong Waterfront oleh ECERDC memberi impak positif kepada masyarakat setempat.
Oleh Sri Ayu Kartika Amri


KUALA LUMPUR: Pembangunan pelbagai kemudahan di Tanjung Penyabong Waterfront, Mersing dilihat memberi impak positif kepada masyarakat setempat dengan mewujudkan peluang pekerjaan dan keusahawanan baharu.

Pembangunan bersepadu oleh Kerajaan Persekutuan melalui Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) adalah sebahagian daripada strategi keseluruhan untuk terus membangunkan Mersing sebagai destinasi pelancongan yang menarik dan mampan.

Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Baidzawi Che Mat berkata, Mersing mengalami transformasi sosio ekonomi yang mantap selepas menerima manfaat daripada projek infrastruktur berimpak tinggi dilaksanakan ECERDC dengan kerjasama Kerajaan Negeri Johor.

Katanya, penyiapan kemudahan di Tanjong Penyabong Waterfront melengkapi pembangunan pelancongan lain seperti Mersing Harbour Centre, Medan Ikan Bakar Endau, penaiktarafan jalan menuju ke Taman Negara Endau-Rompin dan pembinaan serta penaiktarafan kemudahan awam di kepulauan Mersing.

“Projek ini membawa kesan limpahan yang besar dari segi pekerjaan dan perniagaan untuk masyarakat setempat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Disember 2019 @ 9:48 AM