OGUT (dua dari kanan) bersama Rodzi (dua dari kiri) selepas majlis menandatangani perjanjian akses bagi penyediaan perkhidmatan rangkaian jalur lebar berkelajuan tinggi Maxis dan Allo.
OGUT (dua dari kanan) bersama Rodzi (dua dari kiri) selepas majlis menandatangani perjanjian akses bagi penyediaan perkhidmatan rangkaian jalur lebar berkelajuan tinggi Maxis dan Allo.
Oleh Sofyan Rizal Ishak


MAXIS Bhd (Maxis) memperluaskan rangkaian fibernya di Semenanjung melalui kerjasama dengan Allo Technology Sdn Bhd (Allo) iaitu anak syarikat Tenaga Nasional Bhd (TNB).

Kerjasama itu bakal menyediakan akses lebih besar kepada sambungan fiber untuk lebih ramai penduduk dan perniagaan di Cyberjaya, Bangsar South, Lembah Klang dan Jasin, Melaka.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Gokhan Ogut berkata, Maxis memperluaskan jejak perkhidmatan tetap dengan agresif sebagai platform untuk terus menawarkan penawaran dan penyelesaian terbaharu syarikat.

“Maxis kini memiliki 344,000 pelanggan yang melanggan perkhidmatan sambungan fiber di seluruh negara menerusi beberapa kerjasama termasuk dengan Telekom Malaysia (TM), SACOFA dan CT Sabah.

“Kerjasama sedia ada dan terbaharu ini menjadikan Maxis kini adalah pengendali dengan akses paling luas di Malaysia melebihi 3.7 juta premis,” katanya pada sidang media selepas majlis menandatangani perjanjian akses bagi penyediaan perkhidmatan rangkaian jalur lebar berkelajuan tinggi (HSBB) Maxis dan Allo di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Maxis, Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda, Pengerusi TNB, Tan Sri Dr Leo Moggie, Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Ketua Pegawai Eksekutif Allo, Rodzi Ahmad.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Disember 2019 @ 6:45 AM