TH amal konsep pelaburan ke hadapan.
BERNAMA

LEMBAGA Tabung Haji (TH) bakal memberi fokus kepada pelaburan strategik yang mampu memberi pulangan lebih stabil kepada pendeposit pada masa hadapan.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nik Mohd Hasyudeen Yusoff berkata, langkah itu diambil berikutan suasana pelaburan semasa yang semakin mencabar sama ada di dalam dan luar negara.

“Sekarang kita ada RM70 bilion deposit yang kita tadbir, apa yang kita buat sekarang kita cuba labur dengan cara pulangan lebih stabil. Sebab itu kita akan labur lebih kepada aset berpendapatan tetap seperti sukuk, pelaburan dalam hartanah.

“Pelaburan seperti itu lebih banyak berbanding pelaburan dalam saham atau ekuiti. Saham atau ekuiti, di samping dapat dividen, kita boleh dapat pulangan kalau ada peningkatan harga atau peningkatan modal,” katanya pada sidang media mengenai Halatuju TH di sini.

Bagaimanapun, Nik Mohd Hasyudeen berkata, pelaburan saham dan ekuiti akan dihadkan kerana ia memiliki risiko yang lebih tinggi berbanding pelaburan aset tetap.

“Kita mentadbir aset, kita tidak semata-mata membeli dan simpan. Ada aset kita simpan jangka panjang, mungkin kerana mahu peroleh dividen pulangan daripada sukuk tapi ada juga yang kita labur untuk jangka masa sederhana, maknanya bila dapat keuntungan yang kita sasarkan kita boleh jual.

“Dan bila kita jual, kita akan beli aset lain pula. Kadang-kadang di TH bila orang tanya berapa banyak kita jual, orang lupa nak tanya selepas jual itu beli apa? Seolah-olahnya kerja kita jual aset sahaja. Tidak, kita jual dan kita labur balik atau kita beli aset lebih bagus,” katanya.

Menurutnya, TH mengamalkan konsep pelaburan ke hadapan di mana institusi itu akan melihat terlebih dahulu daripada aspek suasana pelaburan dan kestabilan syarikat yang ingin dilabur dalam tempoh satu hingga dua tahun.

“Kadang-kadang ada syarikat yang baik namun lama kelamaan mungkin sebab industri berubah kita kena jual sebelum nilai dia lebih rendah. Proses jual beli ini satu perkara biasa untuk institusi yang mentadbir aset seperti TH,” katanya.

Mengulas mengenai jangkaan hibah lebih tinggi bagi tahun kewangan 2019, Nik Mohd Hasyudeen berkata, beliau optimis susulan pelan pelaburan strategik yang bakal dilaksanakan di samping prestasi kewangan yang memberangsangkan pada suku ketiga.

“Dari segi prestasi (kewangan), saya sudah umumkan setakat suku ketiga ini. Alhamdulilah, kita berada dalam landasan betul. Kita positif, tahun ini pun tinggal tiga minggu lagi, jadi kita berdoa supaya dapat menutup tahun ini dengan prestasi lebih baik berbanding tahun lalu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Disember 2019 @ 10:59 AM