hmdigital

POS Malaysia Berhad (Pos Malaysia) bekerjasama dengan Primeworks Studio dan WAU Animation untuk mengeluarkan siri setem Ejen Ali edisi terhad, bersempena dengan filem animasi Ejen Ali The Movie.

Ia adalah filem animasi Malaysia yang paling hangat ditayangkan di pawagam sejak 28 November 2019 dan berjaya meraih kutipan sebanyak RM20 juta dalam masa dua minggu.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia, Syed Md Najib Syed Md Noor berkata, Ejen Ali The Movie adalah filem animasi pertama yang diabadikan pada setem pos edisi istimewa tempatan.

“Kami berazam untuk terus membuka peluang kepada usahawan muda dan bakat tempatan bagi menggalakkan kreativiti dan memberi inspirasi kepada generasi muda.

“Matlamat kami juga adalah untuk menggalakkan peminat dari segenap lapisan masyarakat untuk menjadikan aktiviti mengumpul setem sebagai hobi,” katanya.

Setem edisi khas akan menampilkan 10 watak utama dari Ejen Ali The Movie yang terdiri daripada Ejen Ali, Ejen Alicia, Ejen Comot, Ejen Bakar, Ejen Rizwan, Ejen Fit, Ejen Bobby, General Rama & Kawan-Kawan, Niki dan Pengganas.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Disember 2019 @ 9:15 AM