KAKITANGAN TNB  menjalankan tugas di Projek LSS kedua di Sungai Petani, Kedah.
KAKITANGAN TNB menjalankan tugas di Projek LSS kedua di Sungai Petani, Kedah.
hmdigital

KUALA LUMPUR: Projek Solar Berskala Besar (LSS) kedua Tenaga Nasional Bhd (TNB) di Kedah yang dijangka siap sebelum akhir 2020, berjalan lancar dengan kemajuan pembinaannya mencecah 84 peratus.

TNB berkata, projek bernilai RM180 juta itu terletak di kawasan seluas 50 hektar di Bukit Selambau, kira-kira 25 kilometer dari Sungai Petani dan merangkumi pemasangan 134,880 panel solar fotovoltan yang mampu menjana tenaga sehingga 30 megawatt (MW).

“Pembinaan itu turut memberi kesan limpahan di kawasan sekitar seperti mewujudkan 250 pekerjaan pelbagai kapasiti dan di peringkat kemuncaknya menyaksikan 252 pekerja subkontrak akan digaji dengan 95 peratus daripadanya adalah tenaga tempatan.

“Projek LSS pertama TNB dan antara terbesar di Malaysia terletak di kawasan seluas 98 hektar di Sepang, Selangor,” katanya.

Menurutnya, kemudahan itu yang beroperasi sejak November 2018 memiliki kapasiti 238,000 panel solar fotovoltan yang mampu menjana tenaga sehingga 50 MW.

“Selain projek LSS, TNB turut memasang panel solar di bumbung bangunan institusi pendidikan serta kerajaan, kediaman, perindustrian dan komersial.

“Kami memperoleh kapasiti penjanaan lebih kurang 26 megawatt puncak (MWp) menerusi lebih 100 projek setakat ini.

“Kami menyasarkan untuk menghasilkan tenaga boleh diperbaharui (RE) sehingga 1,700 MW menjelang 2025 menerusi kaedah LSS, pemasangan kemudahan solar di atas bumbung dan projek RE lain,” katanya.

Projek LSS itu dibangunkan TNB Bukit Selambau Solar Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh TNB Renewables Sdn Bhd (TRe).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Disember 2019 @ 7:09 AM