hmdigital

KUALA LUMPUR: Peningkatan harga minyak pada tahun hadapan dikhuatiri mampu memberi kesan kepada jumlah subsidi yang perlu dikeluarkan oleh kerajaan sekiranya pelaksanaan Program Subsidi Petrol (PSP) ditangguhkan pada tempoh terlalu lama.

Pengurus Pembangunan Perniagaan Putra Business School (PBS), Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, apabila harga minyak meningkat selepas ini, jumlah subsidi turut akan berterusan meningkat dan bakal membebankan kerajaan lagi.

“Sebolehnya kita tidak mahu PSP ditangguhkan, tetapi mungkin kerana ia membabitkan dua kementerian, sudah pasti ada beberapa perkara atau isu yang tidak dapat diselesaikan sebelum tarikh pelaksanaan.

“Malah, jika ia diteruskan berkemungkinan menyebabkan lagi banyak masalah dan ada kemungkinan golongan yang sepatutnya menerima bantuan subsidi terbabit tidak berjaya dibantu,” katanya .

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution mengumumkan penangguhan pelaksanaan PSP yang dijadualkan pada 1 Januari ini ke satu masa yang akan diumumkan kemudian.

Keputusan untuk menangguhkan program itu dicapai dalam mesyuarat Kabinet pada 18 Disember lalu bagi memberi ruang terhadap penyelesaian dua perkara utama yang kini giat dilaksanakan kerajaan.

Ahmed Razman berkata, meskipun inisiatif PSP ditangguhkan, sekurang-kurangnya pada masa ini semua golongan termasuk B40 dan M40 masih lagi menikmati harga minyak RON95 yang diberi subsidi.

Menurutnya, pertumbuhan ekonomi Malaysia masih lagi menunjukkan pertumbuhan positif dari segi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), lebihan dagangan dan akaun semasa selain daripada pendapatan kerajaan yang meningkat setiap tahun.

“Ini bermakna masih ada lagi ruang untuk kerajaan menawarkan inisiatif seperti PSP.

“Lebih-lebih lagi jumlah kos subsidi di bawah PSP ini dijangka lebih rendah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 January 2020 @ 3:45 AM