CHIN di depan cawangan MR DIY di Mid Valley.
Sofyan Rizal Ishak


KUALA LUMPUR: MR DIY Group (M) Berhad (MR DIY), peruncit perkakas rumah terbesar di Malaysia memulakan tahun baharu dengan menawarkan 10 peratus diskaun istimewa di seluruh cawangannya bagi semua produk bermula dari 1 hingga 7 Januari 2020 sempena sambutan 1,000 cawangannya di Asia.

Diskaun itu membabitkan lebih 14,000 produk dalam 10 kategori termasuk perkakasan, aksesori kereta, barangan isi rumah, barangan elektrik, kelengkapan dan perhiasan, alat tulis dan sukan, mainan, hadiah, komputer dan aksesori telefon dan barangan kemas serta komestik.

Naib Presiden Pemasaran MR DIY, Andy Chin berkata, pihaknya membuka cawangan ke-1,000 di pekan Simpang Kuala, Alor Setar.

Menurutnya, syarikat berbangga dapat berkhidmat kepada lebih 270 juta pelanggan di samping terus mengembangkan usaha membuka lebih banyak cawangan bagi memberi kemudahan kepada pelanggan.

“Oleh itu, diskaun istimewa selama tujuh hari diadakan sebagai tanda penghargaan dan terima kasih kami kerana menjadikan MR DIY sebagai peruncit perkakas rumah kegemaran mereka,” katanya.

MR DIY menawarkan lebih banyak ganjaran dengan diskaun sehingga 30 peratus bagi produk berlabel merah terpilih untuk pelanggan dalam tempoh tujuh hari itu.

Promosi diskaun ini termasuk produk MR TOY dalam sembilan kategori iaitu kenderaan dan kawalan jauh, kostum dan mainan, kraf dan aktiviti, sukan dan mainan luar, aksi dan pengembaraan, set bangunan dan blok, pembelajaran, keseronokan dan permainan, barangan keperluan parti serta bayi dan anak patung.

MR DIY juga menganjurkan peraduan Belanja dan Menang kepada pelanggannya bermula 1 hingga 31 Januari 2020 dengan menawarkan lebih 500 hadiah seperti skuter Vespa S125 sebagai hadiah utama, tiga unit iPhone 11 Pro Max (64GB) (tempat kedua), lima unit televisyen 4K UHD Samsung 50 inci (tempat ketiga) dan 500 unit baucar tunai MR DIY bernilai RM200 sebagai saguhati.

Peraduan ini terbuka kepada semua pelanggan MR DIY di Asia dengan mereka hanya perlu membuat pembelian minimum RM30 dalam satu resit di mana-mana cawangan MR DIY.

Pelanggan hanya perlu mengimbas kod QR atau pergi ke promo.mrdiy.com/my untuk menjawab satu soalan dan mengisi maklumat peribadi mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 January 2020 @ 6:30 AM