MALAYSIA Airlines Bhd menerima tujuh peruntukan ATR pada suku keempat 2019.
Bisnes HM

SURUHANJAYA Penerbangan Malaysia (Mavcom) meluluskan 37 permohonan Hak Trafik Udara (ATR) bagi suku keempat 2019 iaitu 94.8 peratus daripada permohonan yang diterima suruhanjaya itu untuk tempoh berkenaan.

Menurut laporan ATR suku tahun keempat, peruntukan ATR Mavcom bagi sektor penerbangan awam Malaysia untuk tempoh 1 Oktober hingga 31 Disember, 2019, daripada 37 ATR yang diluluskan, 12 untuk laluan domestik, manakala baki sebanyak 25 ATR adalah laluan antarabangsa.

“Kelulusan untuk laluan antarabangsa dibahagikan lagi kepada 15 ATR untuk laluan ke destinasi di Asean, lima untuk destinasi di China, tiga untuk destinasi di Asia Barat, dan dua untuk destinasi di Asia,” katanya.

Bagi suku keempat 2019, laporan itu menyatakan Malindo Air menerima jumlah kelulusan tertinggi sebanyak 15 ATR, manakala AirAsia Group dan Malaysia Airlines Bhd, masing-masing 10 dan tujuh peruntukan untuk tempoh tiga bulan.

Sementara itu, bagi tahun penuh 2019, suruhanjaya itu meluluskan 98.9 peratus daripada 175 permohonan ATR yang diterima dari 1 Januari hingga 31 Disember terdiri daripada 60 ATR untuk destinasi domestik, 60 untuk destinasi di Asean, 26 untuk destinasi di China dan baki 27 untuk destinasi di Asia yang lain dan Australia.

“Bagi tahun 2019, AirAsia Group menerima jumlah peruntukan ATR tertinggi dengan 75 ATR,” katanya.

Sementara itu, menurut laporan itu, daripada 37 kelulusan ATR pada suku keempat 2019, sebanyak 21 ATR dikeluarkan untuk penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KUL), tiga dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (BKI), dan baki 13 dari lapangan terbang di Malaysia yang lain.

Katanya, sebanyak 27 ATR yang diluluskan sebelum suku akhir 2019 tidak digunakan oleh syarikat penerbangan dan kemudian dikembalikan kepada Mavcom pada suku tahun berkenaan.

“Jumlah tertinggi ATR yang tidak digunakan adalah daripada AirAsia Group (16) dan Malaysia Airlines (enam).

“Lima permohonan tambahan turut ditarik balik secara sukarela oleh syarikat penerbangan (AirAsia, dua, dan Malaysia Airlines, tiga) dalam tempoh itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 January 2020 @ 6:01 AM