PENUMPANG Malindo Air boleh tukar tarikh penerbangan tetapi tertakluk kepada ketersediaan tempat duduk.
hmonline

Kuala Lumpur: Penumpang Malindo Air dengan tiket sah bagi penerbangan dari dan ke beberapa bahagian tertentu Australia antara 7 Januari dan 31 Januari 2020 yang dikeluarkan pada atau sebelum 7 Januari 2020, diberi pilihan untuk menukar tarikh perjalanan mereka.

Syarikat penerbangan itu dalam kenyataan berkata, pertukaran itu boleh dilakukan penumpang yang melakukan perjalanan dari dan ke Sydney, Perth, Melbourne, Adelaide serta Brisbane.

“Penumpang hanya boleh menukar tarikh penerbangan tetapi bukan destinasi mereka dan penukaran ini tertakluk kepada ketersediaan tempat duduk.

“Tarikh perjalanan baharu itu tidak boleh melebihi enam bulan dari tarikh pelepasan asal dan semua butiran mengenai tiket asal harus ditunjukkan pada tiket baharu termasuk tambang asas serta pengiraan tambang,” katanya.

Menurutnya, perbezaan tambang dan fi pertukaran akan dikecualikan serta semua perubahan harus dilakukan sebelum tarikh pelepasan.

“Langkah ini diambil berikutan kebakaran hutan yang tidak pernah berlaku sebelum ini yang terus memusnahkan bahagian tenggara Australia.

“Pelancong boleh mengikuti perkembangan terkini cuaca untuk semua bahagian di Australia termasuk amaran kebakaran menerusi laman web Biro Meteorologi Australia.

“Selain itu, penumpang boleh menghubungi pusat panggilan Malindo Air di +603-7841 5388 atau melawat kaunter tiket syarikat penerbangan untuk jadual terbaharu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 January 2020 @ 1:37 PM