PROTON X70 dinamakan sebagai Kereta Terbaik Keseluruhan 2019 di Anugerah Kereta Tahunan Malaysia ke-18.
PROTON X70 dinamakan sebagai Kereta Terbaik Keseluruhan 2019 di Anugerah Kereta Tahunan Malaysia ke-18.
hmonline

Proton X70 yang dilancarkan pada Disember 2018 dinamakan sebagai Kereta Terbaik Keseluruhan 2019.

Ini kali pertama model Proton memenangi pengiktirafan berprestij itu di Anugerah Kereta Tahunan Malaysia ke-18.

Proton dalam kenyataan berkata, Proton X70, kenderaan utiliti sukan (SUV), segmen C serba mewah dan paling popular di Malaysia turut menggondol pengiktirafan dalam kategori SUV lima tempat duduk/sederhana manakala Ketua Pegawai Eksekutif Proton (CEO), Dr Li Chunrong diberi penghormatan sebagai Individu Automotif tahun ini.

“Melalui pengiktirafan itu, Dr Li menjadi CEO Proton ketiga yang menerima penghargaan berkenaan,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Proton Saga yang baru-baru ini menerima peningkatan turut menerima anugerah sebagai Sedan Peringkat Permulaan dan Hatchback. Ia menarik banyak perhatian sejak dilancarkan pada 6 Ogos 2019.

DR Li
DR Li

“Sehingga kini, lebih 42,000 tempahan diterima dan sejak dua bulan terakhir 2019, ia menjadi sedan segmen A paling laris di Malaysia,” katanya.

Kesimpulannya, pencapaian terbaharu diraih Proton turut merangkumi peningkatan jualan sebanyak 55.7 peratus pada 2019 iaitu kepada 100,821 unit termasuk penubuhan 120 cawangan 3S/4S yang paling banyak bagi mana-mana jenama kereta di Malaysia.

Syarikat juga menyediakan kemudahan pengeluaran baharu di Tanjung Malim pada 2019 dan kembali mencatatkan keuntungan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 January 2020 @ 1:40 PM