NOR Hamidah (kiri) menukar dokumen MoU dengan Dr Mohamad Jamil (kanan) sambil diperhatikan Khairul (dua dari kiri) dan Prof Dr Ahmad Fadzil.
NOR Hamidah (kiri) menukar dokumen MoU dengan Dr Mohamad Jamil (kanan) sambil diperhatikan Khairul (dua dari kiri) dan Prof Dr Ahmad Fadzil.
Oleh Suliati Asri


BANK Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat) menjadi institusi perbankan pertama menyediakan pembiayaan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) melalui Program Sirim-Fraunhofer.

Untuk permulaan, Bank Muamalat menyasarkan agihan pembiayaan RM10 juta membabitkan 200 permohonan daripada PKS yang layak dalam tempoh setahun.

Naib Presiden Eksekutif Bahagian Perbankan Perniagaannya, Nor Hamidah Abu Bakar berkata, Bank Muamalat sentiasa mencari peluang dalam memenuhi keperluan pelanggan yang berbeza.

Justeru, kerjasama dengan Sirim itu membolehkan Bank Muamalat memenuhi keperluan kewangan PKS dan membantu mereka meningkatkan produktiviti melalui penggunaan teknologi untuk terus berdaya saing dalam menempuh Revolusi Industri 4.0.

“Program ini menyediakan PKS yang layak dengan geran berdasarkan prinsip 80:20 untuk kitaran pertama di mana 80 peratus daripada nilai projek adalah dalam bentuk geran manakala baki 20 peratus adalah komitmen daripada PKS yang mengambil bahagian.

“Jumlah maksimum kelayakan geran adalah sehingga RM200,000 di mana dana berkenaan disalurkan dalam bentuk mesin atau peralatan.

“Malah, usahawan yang layak juga perlu menyediakan hingga RM50,000 yang mana ia akan dibantu Bank Muamalat,” katanya pada majlis pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Sirim Berhad (Sirim) di sini, semalam.

Hadir sama, Naib Presiden Penyelidikan Perindustrian Sirim, Dr Mohamad Jamil Sulaiman, Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Khairul Kamarudin dan Ketua Pegawai Eksekutif Sirim, Prof Ir Dr Ahmad Fadzil Mohd Hani.

Sementara itu, Mohammad Jamil berkata, matlamat utama program ini adalah meningkatkan produktiviti PKS dalam sektor perkilangan melalui penembusan dan peningkatan teknologi.

“Dengan MoU ini, PKS dalam sektor pembuatan dapat menyertai Program Sirim-Fraunhofer ini dan meraih peluang serta faedah meningkatkan produktiviti dan mengatasi daya saing mereka.

“Justeru, kami sangat berterima kasih kepada Bank Muamalat kerana mempercayai program ini dan menjadi institusi pertama yang memberi sokongan kewangan kepada PKS,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 January 2020 @ 7:20 AM