TOK Pa berpengalaman luas dalam bidang ekonomi, kewangan, pendidikan dan perdagangan.
TOK Pa berpengalaman luas dalam bidang ekonomi, kewangan, pendidikan dan perdagangan.
Bisnes HM


KEMENTERIAN Hal Ehwal Ekonomi mengumumkan pelantikan Datuk Seri Mustapa Mohamed sebagai Pengerusi Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU), untuk tempoh dua tahun berkuat kuasa 1 Disember 2019.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pelantikan berkenaan mendapat persetujuan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Bersesuaian dengan peranan TERAJU sebagai agensi ulung untuk meneraju, memacu dan menyelaras penyertaan Bumiputera dalam ekonomi negara, saya yakin beliau akan dapat membawa agenda ekonomi Bumiputera seiring dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

“Dengan kepimpinan baharu ini, saya pasti usaha berterusan yang akan dilaksanakan oleh TERAJU dapat meningkatkan daya saing Bumiputera sekaligus memantapkan lagi kedudukan Bumiputera dalam ekonomi negara.

“Selain daripada sudut ekonomi, TERAJU mempunyai peranan besar dalam menjamin kesejahteraan hidup serta mengangkat martabat Bumiputera ke tahap yang lebih tinggi,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Mustapa atau mesra dipanggil Tok Pa berpengalaman luas dalam bidang ekonomi, kewangan, pendidikan dan perdagangan.

Beliau pernah berkhidmat sebagai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (2009-2018), Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (2008-2009), Menteri Pengajian Tinggi (2006-2008), Menteri di Jabatan Perdana Menteri (2004-2006), Menteri Kewangan 2 (1998-1999), Menteri Pembangunan Usahawan (1995-1999) dan Timbalan Menteri Kewangan (1993-1995).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 January 2020 @ 5:45 PM