MOHD MUAZZAM MOHAMED
MOHD MUAZZAM MOHAMED
Sri Ayu Kartika Amri

BANK Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) menjalin kerjasama dengan syarikat teknologi kewangan tempatan, Global Psytech Sdn Bhd (Global Psytech) bagi menyediakan inovasi penyelesaian penilaian risiko kredit, General Financial Insights (GFI).

GFI berperanan menganggarkan risiko penyediaan pembiayaan kepada pemohon, walaupun pemohon terbabit tidak mempunyai sejarah kredit.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed berkata, usaha sama antara Bank Islam dan Global Psytech bertujuan untuk menangani jurang kredit yang wujud bagi usahawan mikro, kecil dan sederhana (MKS).

“Ini akan mempertingkatkan model penaja jaminan dan skor kredit sedia ada serta memanfaatkan kemajuan teknologi digital dalam sektor kewangan.

“GFI menyumbang dalam merapatkan jurang kewangan yang menjadi penghalang kepada perkembangan perniagaan MKS, sekali gus memacu dan mempertingkatkan sumbangan MKS kepada ekonomi negara,” katanya.

Menurutnya, Bank Islam berazam memperkukuhkan peranan dan impak kewangan Islam dengan mengamalkan prinsip Pengantaraan Berasaskan Nilai (VBI) yang disarankan Bank Negara Malaysia.

Berkongsi matlamat bersandarkan data kualitatif dan kuantitatif bukan tradisi, kedua-dua organisasi berusaha untuk menyediakan saluran penilaian permohonan pembiayaan yang cekap, sungguh pun tidak terdapat sejarah kredit atau butiran yang tidak lengkap pada borang permohonan.

GFI akan memberi unjuran tepat risiko berkaitan pembiayaan berdasarkan analisis tingkah laku dan algoritma pembelajaran mesin.

Dalam masa singkat, GFI menjana laporan terperinci secara automatik bagi membantu pembiaya menentukan sama ada permohonan diluluskan atau sebaliknya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 January 2020 @ 6:25 PM