DR Ong
HM Bisnes

KEMENTERIAN Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) menyasarkan 450 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menjalani program Penilaian Kesediaan Dasar (RA) Kebangsaan 4.0 (Industri4WRD) yang dibiayai kerajaan, tahun ini.

Tahun lalu, 508 PKS dipilih menjalani program ini daripada 849 permohonan.

Timbalan Menteri Miti Dr Ong Kian Ming berkata, program itu bertujuan membantu PKS menilai kesediaan mereka untuk mendepani Industri 4.0.

“Kerajaan memperuntukkan RM43 juta untuk program berkaitan Industri4WRD termasuk RA, Dana Intervensi, Melatih Jurulatih, Program Latihan Semula serta Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi,” katanya.

Seminar sehari ini bertujuan meningkatkan kesedaran industri terhadap program dan insentif berkaitan Industri4WRD oleh kerajaan, seperti RA, Dana Intervensi, Dana Strategik Pelaburan Domestik dan Elaun Modal Automasi.

Ong berkata, apabila selesai RA, PKS digalakkan memohon Dana Intervensi Industri4WRD daripada Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia.

Dana itu menawarkan geran padanan 70:30 sehingga RM500,000 untuk PKS melaksanakan strategi intervensi dalam laporan RA masing-masing.

Syarikat digalakkan untuk memohon RA menerusi laman web Miti http://www.miti.gov.my/ industry4wrd bagi memulakan perjalanan transformasi pelaksanaan 4.0 masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 January 2020 @ 7:00 AM