TENG Chang Khim (tengah) menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman antara Invest Selangor Berhad dan Malaysia Green Technology Corporation (GreenTech Malaysia) di Shah Alam. FOTO BERNAMA
HM Digital

SELANGOR menyasarkan pelaburan sebanyak RM12 bilion pada tahun ini berbanding RM10 bilion pada tahun lalu.

Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana (IKS) negeri, Datuk Teng Chang Khim berkata, sasaran itu adalah praktikal berdasarkan unjuran iklim pelaburan di seluruh dunia.

“Walaupun kita menyasarkan pelaburan sebanyak RM10 bilion pada tahun lalu, tetapi kita berjaya memperoleh RM16.4 bilion setakat September lalu.

“Jumlah pelaburan itu jauh melepasi daripada jumlah yang kita sasarkan. Oleh itu, kita yakin sasaran sebanyak RM12 bilion pada tahun ini dapat dicapai,” katanya menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman antara Invest Selangor Berhad dan Malaysia Green Technology Corporation (GreenTech Malaysia) di Shah Alam, Selangor.

Perjanjian itu untuk mengesahkan penyertaan Selangor dalam Ekspo 2020 Dubai yang dijadualkan berlangsung bermula Oktober ini hingga April tahun depan.

Beliau berkata pihaknya menjangka penyumbang utama kepada sasaran pelaburan pada tahun ini ialah daripada sektor elektronik dan perkilangan serta pembuatan berkaitan logam.

Mengenai pelaburan negeri ke negara-negara Timur Tengah, Teng berkata pihaknya menumpukan kepada mengembangkan sektor perkhidmatan, selain industri halal.

“Mengenai pelaburan Selangor ke Timur Tengah, kita lebih menumpukan kepada sektor perkhidmatan berikutan kita amat bergantung kepada sektor ini yang menyumbang sebanyak 60 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri, selain sektor logistik.

“Bagi industri halal, kita sedang melihat peluang untuk mengembangkan perkhidmatan dan pengetahuan dalam sektor ini ke Timur Tengah.

“Kita sedang merancang satu program yang diharap dapat diperkenalkan dan diterima oleh negara-negara Islam,” katanya.

Beliau berkata perancangan untuk membangunkan program berkaitan perkhidmatan dan produk halal di negara-negara Islam dilihat mampu memberi impak yang amat baik kepada ekonomi Selangor berikutan pasaran halal di Timur Tengah adalah besar.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 January 2020 @ 3:04 PM