TAHUN lalu Bank Islam meluluskan pembiayaan RM387.4 juta dan agihkan RM197.4 juta mengikut SJPP kepada pelanggan PKS.
TAHUN lalu Bank Islam meluluskan pembiayaan RM387.4 juta dan agihkan RM197.4 juta mengikut SJPP kepada pelanggan PKS.
HM Bisnes

BANK Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) diiktiraf sebagai satu daripada lima pembiaya utama dalam menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS) negara termasuk dalam sektor minyak dan gas (O&G), tenaga, ekonomi sebenar serta syarikat pemula.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed berkata, pihaknya terus peka terhadap keperluan sokongan kewangan yang kukuh demi pertumbuhan perniagaan dan mengambil langkah menjalin kerjasama dengan kerajaan dan agensinya untuk memudahkan proses pembiayaan khasnya untuk PKS.

“Tahun lalu, Bank Islam meluluskan pembiayaan RM387.4 juta dan mengagihkan RM197.4 juta mengikut skim jaminan Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) kepada pelanggan PKS bagi pengukuhan perniagaan mereka,” katanya pada Majlis Pelancaran Belanjawan 2020 SJPP-Skim Jaminan Kerajaan untuk PKS di sini.

Bank Islam menerima penghargaan dalam menyediakan pembiayaan kepada PKS dan ia disampaikan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Anugerah itu mengiktiraf pencapaian cemerlang Bank Islam dalam menyediakan pembiayaan dan pengesahan jaminan diluluskan pada skim jaminan kerajaan yang diuruskan SJPP iaitu pentadbir serta pengurus skim jaminan kerajaan di bawah Kementerian Kewangan Diperbadankan (MoF Inc).

Mohd Muazzam berkata, Program Pembiayaan Vendor Bank Islam yang juga hasil kerjasama dengan Petronas, Tenaga Nasional Berhad dan Sarawak Energy Berhad serta dijamin SJPP, memberi fokus untuk menyokong PKS dalam sektor O&G dan tenaga.

“Pembiayaan ini memberi ruang dan peluang untuk usahawan PKS menyempurnakan kontrak mereka. Selain sektor O&G dan tenaga, Bank Islam juga menyediakan dorongan kepada usahawan terbabit dalam sektor lain melalui penganjuran program bertumpukan keperluan pelanggan seperti SME BIZ Financing, SME BIZ Grow dan SME Start-up,” katanya.

Katanya, tahun ini pihaknya berharap memperluas portfolio PKS dan pada masa sama mencari lebih banyak peluang kerjasama dengan syarikat berkaitan kerajaan serta syarikat besar lain melalui Program Pembangunan Vendor mereka.

“Potensi kerjasama ini membantu rangkaian syarikat terbabit dan memenuhi keperluan kewangan kepada vendor yang layak. Ia secara tidak langsung membolehkan perniagaan PKS bertapak lebih kukuh dalam industri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 January 2020 @ 7:45 AM