PENGGUNA aplikasi Boost melakukan transaksi ketika membuat pembayaran di farmasi. FOTO Asyraf Hamzah
Rosyahaida Abdullah

BOOST, peneraju e-dompet tempatan menyasar memperluaskan rangkaian penggunaan aplikasinya ke luar negara menjelang pertengahan tahun ini sebaik mendapat kelulusan Bank Negara Malaysia (BNM).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Khairil Abdullah berkata, persediaan ke arah itu sudah bermula namun pihaknya masih menunggu kelulusan BNM untuk membolehkan aplikasi Boost mula digunakan di luar negara.

“Perkara ini memang sudah ada dalam pelan perniagaan kami jadi jika diluluskan, pengguna Boost di Malaysia boleh menggunakan aplikasi ini di Singapura, Thailand, Indonesia, China dan lain-lain tempat lagi.

“Dengan adanya Boost di luar negara, ia secara tidak langsung menjadikan jumlah rakan perniagaan kami sebanyak 135,000 ketika mungkin menjangkau angka lebih tinggi selepas ini,” katanya.

Menurutnya, sasaran tahun ini adalah mencapai 300,000 rakan niaga hasil pelbagai inisiatif yang dimulakan sejak penubuhan Boost pada 2017 selain impak program e-Tunai Rakyat oleh kerajaan minggu lalu.

Katanya, hampir dua pertiga daripada jumlah rakan niaganya ketika ini adalah peniaga tahap tiga dan empat seperti penjual nasi lemak di gerai tepi jalan yang sebelum ini tidak menggunakan kemudahan digital termasuk e-dompet dalam proses pembayaran.

“Golongan inilah yang buatkan Boost teruja kerana perlu mainkan lebih peranan disebabkan kebanyakan mereka terlalu bergantung kepada tunai dan kita perlu tukar pemikiran mereka mengenai manfaat e-dompet,” katanya.

“Selepas membantu mereka melalui proses digitalisasi dalam pembayaran menggunakan Boost, kita terus bantu menerusi pembiayaan mikro berjumlah RM3,500 yang dikendalikan syarikat adik-beradik Boost di bawah Axiata,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Khairil turut mengunjurkan jumlah penggunanya meningkat kepada 10 juta sebelum tahun depan berbanding lima juta setakat ini.

“Sejak pertengahan tahun lalu, kami memberi tumpuan sepenuhnya kepada kualiti berbanding kuantiti kerana agak merisaukan apabila pengguna hanya datang (guna) untuk sementara waktu dan hilang beberapa minggu kemudian.

“Melalui strategi itu, menjelang akhir tahun lalu, Boost berjaya merekodkan angka yang agak baik di mana pengguna aktif kami secara purata menggunakan RM350 setiap tujuh hari.

“Tentunya sasaran utama kita adalah untuk tingkatkan penggunaan, bukan hanya jumlah pengguna dan rakan niaga.

“Secara purata, jumlah penggunaan Boost yang diukur menggunakan nilai traksaksi kasar (GTV) meningkat 11 kali ganda pada tahun lalu berbanding 2018 dan kita harap ia meningkat tiga hingga lima kali ganda pula pada tahun ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 January 2020 @ 7:10 AM