PENUNGGANG teksi motosikal Dego Ride, Nazrin Idham Razali 30, melayani pelanggan, Zaharah Anum yang menggunakan perkhidmatan teksi motosikal ketika tinjauan perkhidmatan Dego Ride sekitar Kuala Lumpur. FOTO Aizuddin Saad
Sri Ayu Kartika Amri


MYINTERACTIVELAB Sdn Bhd, pengendali perkhidmatan e-hailing Dego Ride menyasarkan kira-kira 100,000 orang akan mendaftar sebagai penunggangnya bagi tahun 2020.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Dego Ride, Nabil Feisal Bamadhaj berkata, berikutan Dego Ride dibenarkan beroperasi semula, pihaknya menerima sambutan begitu menggalakkan di mana lebih 4,000 penunggang sudah berdaftar.

Katanya, daripada jumlah itu hanya 700 permohonan diluluskan bagi peringkat permulaan ini.

“Buat masa ini Dego Ride hanya beroperasi di sekitar Lembah Klang, Shah Alam serta Putrajaya dan kami akan meluaskannya ke seluruh negara secara berperingkat.

“Kami mempelawa mereka yang mempunyai motosikal untuk menjana pendapatan dengan Dego Ride.

“Syarat untuk menjadi penunggang mesti berumur 18 tahun ke atas, mempunyai lesen penuh B2, perlindungan insurans dan sekiranya berminat boleh mengemukakan permohonan secara dalam talian,” katanya pada majlis pelancaran Dego Ride di sini.

Menurutnya, semua jenis motosikal berkapasiti 150cc dibenarkan kecuali motosikal yang diubah suai bagi memastikan keselamatan penumpang.

Nabil berkata, orang ramai sudah boleh memuat turun aplikasi Dego Ride untuk mendapatkan perkhidmatan yang disediakan.

Tambang terkini bagi perkhidmatan Dego Ride adalah pada kadar RM3 untuk perjalanan sejauh 3 kilometer dan tambahan RM1 bagi 1 kilometer seterusnya.

Sementara itu, Nabil berkata, pihaknya turut menerima permintaan tinggi bagi penumpang wanita dan sehingga kini terdapat lebih 100 penunggang yang mendaftar dan hanya separuh permohonan diluluskan.

“Sebagai penyedia e-hailing tempatan, kami berharap Dego Ride akan diterima masyarakat di negara ini dan kami komited untuk mengembangkan lagi perkhidmatan ini sekali gus memberi peluang kepada orang ramai menambah pendapatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 January 2020 @ 7:15 AM