SEGMEN terbesar pasaran e-dagang ialah elektronik dan media.
Sri Ayu Kartika Amri

INDUSTRI e-dagang dijangka terus menjadi pemacu utama kepada masa depan ekonomi digital di Malaysia dan mampu menghasilkan jumlah pasaran sebanyak RM23.90 bilion pada 2023.

Perkembangan yang pesat dalam bidang teknologi maklumat terutama dalam perkembangan Internet telah membawa kepada penggunaan elektronik menyeluruh dalam urusan harian seperti aplikasi e-niaga, e-kerajaan termasuk e-dagang.

Pengerusi Persatuan Industri Komputer dan Multimedia Malaysia (Pikom), Danny Lee berkata, ekonomi Malaysia dijangka berkembang 4.8 peratus tahun ini dan ia akan menyokong pertumbuhan e-dagang.

Katanya, e-dagang juga akan meningkat berikutan permintaan domestik yang mampan disokong perbelanjaan isi rumah yang membuat pembelian dalam talian.

“Menjelang 2020, firma perunding Amerika Syarikat (AS), AT Kearney berkata sumbangan e-dagang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia boleh mencecah 6.4 peratus dan menyumbang kira-kira RM114 bilion.

“Sebagai hasilnya, menurut rekod Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), industri pos dan kurier negara telah mengendalikan sebanyak 170 juta paket kecil dan bungkusan pada 2018.

“Manakala, pada 2019 jumlah itu meningkat kepada 230 juta atau 35.3 peratus didorong oleh jualan perayaan dan eksklusif oleh platform e-dagang seperti Lazada, Shopee dan lain-lain,” katanya.

Lee berkata, perolehan pasaran e-dagang berjumlah RM15.30 bilion pada 2019 dan ia dijangka menunjukkan kadar pertumbuhan tahunan (CAGR 2019-2023) sebanyak 11.8 peratus yang menjana jumlah pasaran sebanyak RM23.90 bilion menjelang 2023.

Menurutnya, segmen terbesar pasaran e-dagang ialah elektronik dan media dengan jumlah dagangan sebanyak RM4.1 bilion pada 2019.

“Penembusan pengguna pula adalah 62.3 peratus tahun lalu dan dijangka mencecah 64.3 peratus menjelang 2023,” katanya.

Bagaimanapun, katanya kadar penembusan e-dagang di kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Malaysia lebih perlahan daripada penembusan pengguna, yang bermaksud PKS perlu melabur lebih banyak dalam talian, bukan hanya melalui media sosial.

Beliau berkata, sokongan penyedia logistik yang cekap dan gerbang pembayaran perlu menjadi sebahagian daripada ekosistem supaya mereka berdaya saing dengan penyedia asing seperti Lazada dan Shopee.

“Apabila landskap e-dagang menjadi berkembang pesat, cabaran pedagang adalah untuk menonjol dan mereka memerlukan strategi komprehensif omni-channel supaya sampai kepada pelanggan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 January 2020 @ 7:30 AM