AL-IKHSAN kini mempunyai 30 jenama aktif di bawah payungnya seperti Adidas, Nike dan Puma.
AL-IKHSAN kini mempunyai 30 jenama aktif di bawah payungnya seperti Adidas, Nike dan Puma.
BERNAMA

OPERATOR kedai rangkaian peralatan dan pakaian sukan, Al-Ikhsan Sports Sdn Bhd (Al-Ikhsan) menyasarkan pertumbuhan jualan tahunan 15 peratus hingga 18 peratus menerusi pelan pengembangan strategik tiga tahun yang bermula tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Vach Pillutla berkata, jualan meningkat 17.9 peratus kepada RM330 juta tahun lalu daripada RM280 juta yang dicapai pada 2018.

Walaupun pertumbuhan pasaran runcit global tidak stabil, beliau yakin Al-Ikhsan terus mencatat pertumbuhan dua digit, disokong harga berpatutan, pembukaan lebih banyak kedai, dan pengenalan konsep baharu bersegmen serta laman web baharu.

“Komitmen kami untuk memastikan rakyat Malaysia aktif dan sihat dengan menjadikan sukan mampu disertai semua.

“Kami merancang membuka 14 kedai setiap tahun di Semenanjung Malaysia dengan konsep seperti Football Republic dan Sneakers Street, bergantung kepada pasaran dan permintaan pengguna,” katanya di sini, baru-baru ini.

Pillutla berkata, Al-Ikhsan melancarkan platform e-dagang baharu akhir Februari depan untuk menawarkan pengalaman membeli-belah dalam talian yang lebih mudah kepada pelanggan di Malaysia dan luar negara.

Beliau berkata, platform baharu itu bagaimanapun tidak memberi sumbangan besar kepada pendapatan syarikat dengan lima peratus daripada jumlah jualan dalam tempoh tiga tahun.

Ditubuhkan pada 1993 oleh pengasas Ali Hassan Mohd Hassan, Al-Ikhsan kini peruncit sukan ke-64 terbesar di dunia dengan 130 kedai di Semenanjung Malaysia.

Syarikat itu juga sebahagiannya dimiliki oleh Ekuiti Nasional Bhd (Ekuinas) selepas firma ekuiti swasta berkaitan kerajaan memperoleh 35 peratus kepentingan dalam Al-Ikhsan pada Julai 2016 untuk RM68.6 juta.

Ali Hassan berkata, perkongsian strategik yang dibentuk dengan Ekuinas membolehkan Al-Ikhsan menjadi lebih berdaya saing di pasaran runcit dengan sistem perisian inventori lebih baik dan sokongan pengurusan operasi.

“Ekuinas membantu kami (Al-Ikhsan) mencari ahli pasukan baharu dan pada masa sama menggabungkan kedai kami dan meningkatkan proses sokongan akhir.

“Ekuinas melaksanakan tugas dengan profesional dalam mewujudkan asas kukuh sejak perkongsian kami pada 2017,” katanya sambil menambah syarikat itu tiada rancangan menjalin perkongsian baru.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Ekuinas, Syed Yasir Arafat Syed Abd Kadir berkata, penyediaan asas kukuh adalah pelan perniagaan utama untuk mengembangkan Al-Ikhsan yang menyumbang kepada penguasaan 30 peratus bahagian pasaran dalam segmen runcit pelbagai.

“Sejak perkongsian kami dengan Al-Ikhsan, syarikat itu memperoleh pulangan modal memandangkan ia ada kecairan kukuh dan aliran tunai mencukupi dan pengurusan inventori baik.

“Kami tidak perlu suntikan modal luar untuk terus berkembang,” katanya, sambil menambah bahawa Ekuinas mengenal pasti semua pilihan untuk mengembangkan Al-Ikhsan, termasuk proses penyenaraian.

Al-Ikhsan kini mempunyai 30 jenama aktif di bawah payungnya seperti Adidas, Nike dan Puma.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 January 2020 @ 7:35 AM