KETUA Pegawai Perniagaan Agrobank Ahmad Shahril Mohd Sharif (tiga dari kanan) bertukar dokumen MoU dengan Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Petronas Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz sambil disaksikan Azmin dan Salahuddin (tengah). PHOTO -Bernama
KETUA Pegawai Perniagaan Agrobank Ahmad Shahril Mohd Sharif (tiga dari kanan) bertukar dokumen MoU dengan Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Petronas Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz sambil disaksikan Azmin dan Salahuddin (tengah). PHOTO -Bernama
HM Bisnes

PETROLIAM Nasional Bhd (Petronas) menjalin kerjasama strategik dengan Agrobank untuk menawarkan pembiayaan mikro bernilai RM100 juta kepada usahawan mikro berpendapatan 40 peratus terendah (B40) dalam sektor pertanian dan asas tani.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin berkata, pelaburan pembiayaan yang diperuntukkan oleh syarikat minyak dan gas itu akan disalurkan dalam tempoh lima tahun dan diuruskan program kemudahan pembiayaan mikro B40 Agrobank.

Katanya, inisiatif itu sejajar dengan Pernyataan Tujuan Petronas menjadi rakan kongsi penyelesaian dan tenaga yang progresif, meningkatkan kehidupan untuk masa depan yang mampan serta komitmennya untuk menyokong lapan matlamat pembangunan mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berkaitan kerja yang baik dan pertumbuhan ekonomi.

“Memandangkan sektor pertanian dan industri asas tani pemangkin penting dalam pembangunan negara, kerajaan Malaysia menumpukan kepada pembangunan mampan untuk mengukuhkan kapasiti dan kemahiran komuniti ini terutamanya kumpulan B40 yang sering terlepas pandang.

“Petronas yakin memperkasakan kumpulan sasaran B40 dalam sektor pertanian melalui peningkatan pembiayaan dan kemahiran yang komprehensif di bawah program itu akan menjana usahawan mahir, secara tidak langsung akan memacu pertumbuhan keupayaan sumber manusia, inovasi teknologi dan produktiviti dalam sektor pertanian yang akan terus meningkatkan ekonomi dan pembangunan negara secara keseluruhan,” katanya pada majlis pemeteraian kerjasama itu di sini, semalam.

Hadir sama, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali serta Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Sementara itu, Penanggung Tugas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Khadijah Iskandar berkata, pembiayaan akan diberikan sehingga 100 peratus daripada keseluruhan kos operasi pada kadar faedah terendah bank itu sebanyak 2.0 peratus setahun.

“Matlamat inisiatif itu ialah memperkasakan kumpulan B40 dengan tujuan menyediakan taraf hidup yang lebih baik untuk mereka.

“Kerjasama ini akan memperluas capaian Agrobank untuk meningkatkan akses kewangan kepada komuniti asas tani dengan pelbagai kepakaran,” katanya.

Pada masa ini, Agrobank mempunyai lebih 11 program kewangan mikro di seluruh negara meliputi penanaman padi, baja cili, kelapa sawit, lembu tenusu dan nanas.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 January 2020 @ 7:15 AM