KEHABISAN stok menyebabkan pengguna beralih kepada pembelian dalam  talian untuk mendapatkannya. FOTO  Aziah Azmee
KEHABISAN stok menyebabkan pengguna beralih kepada pembelian dalam talian untuk mendapatkannya. FOTO Aziah Azmee
HM Bisnes

BERIKUTAN kebimbangan orang ramai mengenai wabak koronavirus baharu, Shopee merekodkan peningkatan mendadak sehingga 521 peratus untuk produk kesihatan khususnya untuk membasmi kuman.

Ia merangkumi produk seperti topeng muka pembedahan, pembersih tangan, cecair dan penyembur disinfektan, tisu basah, gel mandian dan pencuci tangan antibakteria serta vitamin.

Pengarah Urusan Serantau Shopee, Ian Ho berkata, kebanyakan produk ini yang ditawarkan di kedai atau farmasi kehabisan stok menyebabkan pengguna beralih kepada pembelian dalam talian untuk mendapatkannya.

“Sejak lebih dua minggu lalu, kami merekodkan peningkatan jualan untuk produk berkaitan penjagaan diri dan kesihatan berikutan timbul kebimbangan mengenai wabak koronavirus baharu.

“Ia juga rentetan virus yang tersebar sebelum ini seperti Influenza A (H1N1) dan penyakit tangan, kaki serta mulut yang berlaku di Malaysia,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Menurutnya, untuk membantu rakyat Malaysia melindungi diri mereka, pihaknya bekerjasama dengan jenama dan penjual di seluruh negara yang mempunyai stok untuk menawarkan produk berkenaan.

“Kami juga mengambil langkah proaktif untuk mengingatkan semua penjual bahawa kerajaan menetapkan harga siling maksimum untuk topeng muka selain perlu meletakkan harga pada barangan-barang ini secara munasabah kerana ia kini dianggap sebagai keperluan asas.

“Malah, kami turut memudahkan pencarian pengguna bagi produk ini dengan menyediakan halaman Keperluan Anti-Influenza,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 January 2020 @ 7:30 AM