Kuala Lumpur: Malaysia Airlines memeterai kerjasama dengan Public Bank Bhd untuk menerima pembayaran bagi pembelian tiket dalam talian menggunakan FPX, gerbang pembayaran dalam talian utama di Malaysia yang dikendalikan Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet).

Menerusi FPX, pelanggan syarikat penerbangan kini boleh membeli tiket penerbangan menggunakan duit dalam akaun semasa, simpanan dan akaun kad kredit mereka yang dikendalikan Public Bank, Public Islamic Bank, dan 29 bank lain di Malaysia.

Ketua Pegawai Pemasaran dan Pengalaman Pelanggan Kumpulan Malaysia Airlines, Lau Yin May berkata, perkongsian itu menunjukkan komitmen syarikat penerbangan ke arah meningkatkan pengalaman pelanggannya dengan memperkenalkan pilihan pembayaran mudah.

“Pelanggan yang memilih untuk membayar dengan FPX tidak akan membayar sebarang caj perkhidmatan,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Perkongsian ini adalah sejajar dengan inisiatif Bank Negara Malaysia untuk beralih daripada pembayaran secara manual kepada e-pembayaran.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Februari 2020 @ 7:20 AM
Digital NSTP Subscribe