IPO dijangka raih RM1.66 bilion.
HM Bisnes

RANGKAIAN runcit peralatan rumah, MR DIY Group sudah mula berbincang dengan kumpulan pelabur terpilih bagi melanggani sahamnya menerusi tawaran awam permulaannya (IPO) yang akan dilaksanakan.

Agensi berita Dow Jones yang memetik sumber industri berkata, IPO itu dijangka mampu meraih modal sehingga AS$400 juta (RM1.66 bilion).

PO itu, katanya, jika berjaya, menjadi IPO terbesar di Asia Tenggara dalam tempoh hampir tiga tahun ini.

Pihak yang biasa dengan proses itu dilaporkan berkata, perbincangan dengan pelabur institusi utama dijangka mungkin berlangsung lebih daripada seminggu bagi menarik minat mereka terhadap IPO berkenaan.

Pelabur institusi utama bersetuju mengambil sebahagian daripada saham syarikat menjelang IPO yang boleh membantu memasarkan perjanjian itu ke institusi lain dan pelabur individu.

Syarikat itu menyasarkan penyenaraian pada suku kedua, seorang daripada sumber berkata, sambil menambah bahawa kesan koronavirus yang berlaku boleh menjadi antara faktor mempengaruhi jadual penyenaraian terbabit.

Syarikat itu ketika dihubungi bagaimanapun tidak memberi maklum balas.

MR DIY Group adalah antara peruncit peralatan rumah terbesar di Malaysia, menjual peralatan rumah, perkakasan, elektrik dan alat tulis.

Kedainya diuruskan sama ada secara langsung atau dengan kerjasama peruncit besar dan pemilik pusat membeli-belah seperti Tesco PLC (TSCO.LN) UK dan Aeon Co(8267.TO) dari Jepun.

Pasaran IPO di Malaysia lemah beberapa tahun kebelakangan ini susulan pertumbuhan ekonomi yang lemah dan ketidakpastian politik sejak pilihan raya 2018.

Pada tahun lalu, 26 syarikat meraih AS$478 juta (RM1.98 bilion) dalam pasaran IPO, menurut data daripada Dealogic.

Hampir separuh daripada jumlah itu diterbitkan pengeluar unggas, Leong Hup International Bhd.

Sekiranya IPO DIY berjaya, ia menjadi tawaran terbesar sejak Lotte Chemical Titan Holding Bhd yang menawarkan hampir AS$880 juta (RM3.64 bilion) pada 2017.

CIMB Investment Bank dan Maybank Investment Bank antara bank yang menasihati syarikat itu dalam IPO.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Februari 2020 @ 7:20 AM