DARI kiri, Nik Mohd Hasyudeen, Dr Mujahid dan Mohd Muazzam ketika majlis pelancaran, semalam. FOTO Bernama
HM Bisnes

JEMAAH haji kini boleh melakukan transaksi kewangan dengan mudah menggunakan kad debit-i Bank Islam Visa Tabung Haji yang diperkenalkan Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) hasil usaha sama dengan rakan strategiknya iaitu Lembaga Tabung Haji (TH) dan Visa.

Menariknya,tiada caj dikenakan bagi pengeluaran tunai di Arab Saudi pada musim haji.

Kad itu dilengkapi pelbagai keistimewaan lain dan ganjaran eksklusif untuk pemegangnya selain menawarkan rangkaian pembayaran serta akses tunai yang meluaskan di seluruh dunia.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed berkata, perkongsian strategik itu sejajar dengan strategi pihaknya untuk menjalin hubungan jangka panjang bersama rakan niaga terkemuka bagi menawarkan solusi pembayaran tanpa tunai berserta nilai tambah kepada pelanggan.

“Berbeza dengan kad debit dikeluarkan sebelum ini, Kad Debit-i Bank Islam Visa adalah kad biorosot pertama diperbuat daripada material PET berkualiti tinggi yang boleh dikitar semula.

“Ia menjadikannya kad mesra alam pertama yang sejajar dengan hasrat kelestarian kami.

“Kad ini membolehkan pelanggan membuat pembayaran di lebih 60 juta lokasi niaga dan mendapatkan akses tunai di lebih 2.5 juta termasuk mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di seluruh dunia termasuk Arab Saudi,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran di sini, semalam.

Majlis itu disempurnakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.

Hadir sama, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Nik Mohd Hasyudeen Yusoff, Pengurus Negara Kumpulan Rantau Asia Tenggara Visa, Mandy Lamb dan Pengurus Negara Visa Malaysia, Ng Kong Boon.

Menurutnya, untuk mengaktifkannya, pelanggan perlu membuka akaun Bank Islam seterusnya memohon kad debit dengan caj RM13 untuk pemprosesan.

Katanya, pendeposit TH boleh mengakses akaun masing-masing dengan menghubungkannya bersama kad debit dan hanya perlu memindahkan dana yang diperlukan daripada akaun simpanan mereka ke Bank Islam.

“Kami mengunjurkan untuk mencapai 100,000 pemegang kad dalam tempoh setahun.

“Sebagai perintis perbankan Islam di Malaysia, kami sentiasa berhasrat menyediakan penyelesaian kewangan patuh syariah demi memenuhi kehendak dan keperluan pelanggan selain memastikan kelestarian alam terus terpelihara.

“Bank Islam juga komited dalam menjayakan usaha membentuk masyarakat tanpa tunai dan kami berharap usaha ini dapat menyumbang ke arah itu,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohd Muazzam berkata,Bank Islam menawarkan moratorium sementara bagi tempoh sehingga enam bulan untuk pembayaran pembiayaan bulanan pelanggan individu dan perniagaan yang terjejas dengan penyebaran wabak koronavirus baharu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Februari 2020 @ 7:20 AM